

MIRI: Hujan berterusan sejak malam tadi yang disertai fenomena air pasang menyebabkan beberapa kawasan rendah di sini dinaiki air, sekali gus mendorong pembukaan tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi menempatkan penduduk terjejas.
Menteri Pengangkutan, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, langkah membuka PPS diambil sebagai persediaan awal susulan peningkatan paras air yang berpotensi menjejaskan keselamatan penduduk.
Menurut beliau, PPS yang kini beroperasi ialah Dewan Pusat Komuniti Tudan Fasa 4, Masjid Darul Iman Kampung Tudan Fasa 2A dan Dewan Pujut Tanjung Batu.
“Penduduk yang tinggal di kawasan rendah khususnya di sekitar Tudan, Pujut dan Tanjung Batu diminta supaya tidak berlengah dan segera berpindah ke PPS sekiranya paras air terus meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melakukan tinjauan situasi banjir serta melawat PPS di sekitar kawasan Senadin, hari ini.
Setakat 5.30 petang, seramai 14 Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan 35 penduduk ditempatkan di PPS Masjid Darul Iman, manakala PPS Dewan Pusat Komuniti Tudan Fasa 4 menempatkan 15 KIR melibatkan 64 penduduk.
PPS Dewan Pujut Tanjung Batu pula menempatkan satu KIR melibatkan tujuh penduduk.
Oleh Liong Chai Ling