

SERIAN: Paras air di beberapa kawasan berisiko banjir di sini dilaporkan sedikit meningkat dan bertahan susulan hujan berterusan sejak awal pagi, hasil rondaan pemantauan sempena Monsun Timur Laut (MTL) yang dijalankan hari ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak dalam kenyataan memaklumkan, rondaan dilakukan oleh Balai Bomba dan Penyelamat Serian dari 8.00 pagi hingga 11.00 pagi tadi.
Rondaan tertumpu di Kampung Munggu Kopi dan Kampung Tanah Putih, dengan laporan pemantauan mendapati trend paras air menunjukkan peningkatan, manakala keadaan cuaca mendung sepanjang operasi.
Dalam perkembangan berkaitan, pemantauan turut dijalankan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan SJK Chung Hua Batu 29, yang dilaporkan tiada penambahan mangsa setakat ini.
Sementara itu, PPS Sekolah Kebangsaan Tanah Putih telah dibuka pada 10.00 pagi hari ini bagi menempatkan penduduk terjejas yang berpindah secara kendiri menggunakan perahu orang kampung susulan kenaikan paras air di kawasan kediaman mereka.
Pihak bomba memaklumkan pemantauan berterusan akan diteruskan bagi memastikan keselamatan penduduk serta kesiapsiagaan menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan paras air.
Oleh Shahrul Qaizat