

MATU: Paras air di kebanyakan kawasan berisiko banjir di sekitar daerah ini menunjukkan trend menurun setakat hari ini.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Matu dalam satu kenyataan memaklumkan hasil tinjauan mendapati paras air di beberapa kampung dan kawasan rendah termasuk Kampung Tian, Taman Sejahtera, Kampung Jemoreng, Kampung Bertong serta Pekan Matu berada dalam keadaan menurun.
“Trend penurunan paras air turut direkodkan di Kampung Sekaan Besar, Kampung Berjaya, Kampung Sok, Jalan Jemoreng Bawang (Passin) dan Jalan SMK Matu,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, APM memaklumkan paras air di Kampung Sekaan Kechil dan Kampung Bawang masih berada pada tahap statik dan memerlukan pemantauan berterusan.
Sehubungan itu, APM menasihatkan penduduk terutama yang tinggal di kawasan rendah dan kampung yang sering dilanda banjir agar sentiasa berwaspada serta peka terhadap perubahan cuaca semasa.
Orang ramai yang memerlukan bantuan atau berdepan sebarang kecemasan berkaitan banjir boleh menghubungi Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Daerah Matu di talian 084-832208 yang beroperasi 24 jam.
Oleh Tarani Lanting