
KUCHING: Hasil tangan tradisional masyarakat Iban terus mendapat tempat di hati ramai apabila parang ilang buatan tangan oleh Johnny Berangan dari Sibu antara buah tangan diminati pelancong dan penggemar seni kraf tempatan.
Johnny, 57, dari Rumah Jackson, Batu 16 Jalan Oyang, Sibu berkata parang ilang bukan sekadar senjata tradisional tetapi lambang keberanian, maruah dan identiti masyarakat Iban dengan setiap bilah mempunyai kisah tersendiri, menjadikannya hadiah penuh makna.
Beliau telah lebih 30 tahun bergiat dalam bidang pertukangan besi itu selepas mewarisi kemahiran membuat parang ilang daripada bapanya pada 1992.
Selain itu, Johnny juga mahir dengan jenis atau corak parang yang sesuai dihasilkan berdasarkan permintaan atau pemberian untuk acara tertentu.
“Parang ilang sering dicari atau ditempah untuk dijadikan hadiah persaraan, cenderamata rasmi, perhiasan rumah serta hantaran perkahwinan, menjadikannya buah tangan istimewa dari Sibu.

“Tiada dua parang ilang yang sama. Setiap satu memiliki ukiran halus dan motif etnik Iban yang melambangkan kekuatan, kesetiaan dan keindahan alam. Parang ilang sesuai dijadikan perhiasan rumah atau hadiah eksklusif,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Festival Kraf Borneo (FKB) Sarawak 2025 di Tebingan Kuching hari ini.
Johnny yang turut menghasilkan pelbagai jenis parang lain seperti parang nyabur, pedang dan parang penebas di bengkel kecilnya di Sibu, mampu menyiapkan antara 12 hingga 20 bilah parang sebulan bergantung pada tempahan.
Beliau berkata setiap bilah parang memerlukan antara lima hingga enam hari untuk disiapkan termasuk kerja membuat anyaman, mengukir ulu dan sarung.
Menariknya, pelanggan lelaki itu tidak lagi terhad kepada masyarakat Iban tetapi kini meliputi pelbagai kaum dan latar belakang.
“Harga parang berbeza mengikut saiz dan tahap ukiran dengan ada dijual sekitar RM200 hingga RM400, manakala yang paling eksklusif boleh mencecah RM15,000,” katanya.
Selain itu, Johnny mengakui cabaran utama dihadapinya kini ialah kesukaran mendapatkan bahan mentah seperti kayu dan rotan untuk dijadikan sarung parang akibat pembukaan kawasan hutan bagi tanaman komersial.
Bagaimanapun, Johnny berazam untuk terus menempa parang ilang sebagai simbol warisan keluarga dan kebanggaan masyarakat Iban selagi kudrat masih ada.

“Selagi boleh, saya akan terus buat parang ilang. Ini bukan sekadar kerja, tapi jiwa saya,” katanya sambil berharap seni tradisi itu terus hidup dan dikenali lebih luas melalui promosi media sosial seperti Facebook, jualan di pasar tempatan serta penyertaan dalam pameran kraftangan dan keusahawanan.
Tinjauan Bernama mendapati reruai pameran parang Johnny antara yang mendapat perhatian pengunjung tempatan dan luar negara dengan mereka begitu kagum dengan hasil tangan lelaki itu.
FKB berlangsung selama 10 hari bermula 24 Oktober sempena Regata Sarawak-Festival Tebingan Kuching 2025.
Bertemakan ‘Ini Kraf Malaysia,’ festival itu menghimpunkan 111 usahawan dan komuniti kraf dari Sarawak dan Sabah yang mempamerkan kepelbagaian produk berasaskan tekstil, hasil rimba, logam dan aneka kraf Borneo. -Bernama