Oleh: Abang Median Abang Said
DALAM penghasilan sesebuah karya, seseorang pengarang mempunyai tujuan dalam penghasilan karyanya dan menggerakkan cerita melalui imej masyarakat yang mempunyai kepelbagaian kehidupan masyarakat itu sendiri. Karya yang dihasilkan bukan hanya merujuk kepada deskripsi tentang pandangan daripada mata kasar, tetapi turut menyelitkan nilai, kritikan dan perasaan pengarang itu sendiri (Sohaimi Abdul Aziz, 2011). Pengarang tidak menulis dengan hanya bersandarkan kepada imaginasi tetapi turut menonjolkan realiti kehidupan masyarakat termasuk menyelitkan isu-isu semasa dalam naratif karyanya.
Membaca karya Nabillah Bolhassan menerusi cerpen “Umrah Yang Tertunda”, ada dua perkara yang cuba diketengahkan oleh pengarang, iaitu tentang penipuan dan juga tentang masalah kejiwaan yang melibatkan pesakit mental. Dua subjek ini merupakan perkara yang sering berlaku dalam masyarakat terutama dengan tekanan kehidupan yang dihimpit oleh masalah ekonomi yang menduga. Malahan kedua-dua perkara ini juga merupakan subjek yang saling berkaitan.
Kesihatan mental sering dikaitkan dengan keupayaan seseorang untuk menjalani, menghargai dan menikmati hidup dalam keadaan positif, produktif dan seimbang. Bagi individu yang mengalami kesihatan mental yang buruk, tekanan yang mencengkam akan mengakibatkan kemurungan. Berdasarkan Laporan Statistik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019, kira-kira setengah juta daripada rakyat Malaysia menghadapi kemurungan. Permasalahan kesihatan mental di Malaysia turut dikaitkan dengan tingkah laku bunuh diri. Jumlah kes bagi tahun 2021 menunjukkan peningkatan ketara iaitu sebanyak 81 peratus berbanding tahun 2020 (Berita Harian, Oktober 10, 2022). Malahan kemurungan yang berterusan menjadi kian kronik menyebabkan seseorang individu berkenaan boleh melakukan perkara di luar batas kerasionalan.
Perkara itulah yang cuba diketengahkan oleh pengarang melalui watak Fasihah yang mengalami tekanan jiwa setelah ditipu oleh sahabat karibnya sendiri yang berjanji mendapatkan harga promosi untuk mengerjakan umrah. Dia mahu ayah dan ibunya pergi ke Mekah untuk mengerjakan umrah. Watak Normala berjanji memberikan harga pakej umrah terbaik yang ditawarkan oleh syarikat tempatnya bekerja. Dia telah meminta Fasihah memasukkan duit sebanyak RM 20,000 ke akaunnya. Semua proses pendaftaran, mendapatkan visa, tiket kapal terbang pergi dan balik serta penginapan hotel di Mekah akan diruskan oleh Normala. Fasihah hanya perlu menghantar emak dan ayahnya ke lapangan terbang sahaja bersama-sama pasport pada hari keberangkatan ke Mekah biarpun Fasihah berasa bimbang tatkala mesejnya tidak dijawab dan panggilan telefonnya tidak berjawab beberapa hari sebelum tarikh yang dijanjikan. Ternyata Fasihah telah ditipu oleh rakannya sendiri. Dia mengalami masalah jiwa yang kronik sehingga dihantar ke hospital sakit jiwa dan ditempatkan di Wad Harmoni di bawah seliaan Doktor Firdaus dan jururawat yang bernama Azura.
Sememangnya kes penipuan pakej umrah begitu hangat diperkatakan pada tahun lepas sehingga merangsang pengarang mengetengahkan isu berkenaan dalam cerpennya. Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mendedahkan sejumlah RM9 juta telah direkodkan ekoran penipuan oleh syarikat pengendali perkhidmatan umrah bagi tahun 2023 sahaja. Setiausaha Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan, Roslan Mohammad berkata, 62 kes telah dilaporkan kepada polis melibatkan kerugian RM2.1 juta manakala RM7.079 juta dengan 355 kes direkodkan di Tribunal Tuntutan Pengguna (TTPM). Stephen King (1978) menegaskan bahawa jikalau seseorang pengarang tidak mempunyai waktu untuk membaca, pengarang berkenaan pastinya tidak mempunyai waktu atau peralatan untuk menulis. Ternyata, pengarang cerpen “Umrah Yang Tertunda” telah membaca tentang isu masalah tekanan mental dan isu penipuan umrah. Pengarang juga telah membaca permasalahan masyarakat untuk dipindahkan dalam hasilan kreatifnya. Itulah antara kejayaan awal dalam pemilihan tema dan persoalan yang ingin diketengahkan dalam karyanya.
Sastera adalah suatu bentuk dari hasil pekerjaan seni kreatif yang objeknya adalah manusia dan kehidupan dengan menggunakan bahasa sebagai mediumnya. Sebagai seni kreatif yang menggunakan manusia sebagai objek, sastera tidak sahaja merupakan media untuk menyampaikan idea, teori, atau sistem berfikir manusia. Sebagai karya kreatif, sastera harus mampu melahirkan ciptaan yang indah dan keindahan itu hadir dalam pelbagai bentuk – ada keindahan hadir disebabkan bahasa, kerencaman persoalan, jalinan plot yang menarik atau nilai yang disampaikan. Cerpen dalam karya sastera merupakan pengolahan masalah-masalah sosial masyarakat yang menjadi subjek popular dalam penulisan. Analisis sastera berfungsi untuk memahami dan menjelaskan maksud-maksud cerita yang sebenarnya, serta mengapa cerita itu terjadi.
Cerpen “Umrah Yang Tertunda” perlu dilihat dari aspek psikologi sebagai ilmu yang mempelajari tingkah laku dan kehidupan kejiwaan manusia melalui watak Fasihah yang dapat digunakan sebagai salah satu sarana dalam upaya pemahaman karya sastera. Pendekatan psikologi sastera bertolak dari pandangan bahawa suatu karya sastera pada umumnya berisi tentang permasalahan yang dialami oleh manusia melalui perwatakan yang ditampilkan oleh pengarang.
Watak Fasihah mengalami tekanan mental disebabkan usahanya yang tanpa mengira masa dan penat lelah telah dirompak oleh sikap tamak manusia yang sanggup menipu. Untuk menghantar emak dan ayahnya mengerjakan umrah, Fasihah bangun seawal jam 4 pagi; membantu emaknya memasak nasi lemak. Sebelum masuk kerja di pejabat, dia menghantar nasi lemak ke warung. Pada waktu malam pula, Fasihah menjual burger di hadapan rumahnya. Dia juga mengajar tuisyen kepada anak-anak jiran yang masih bersekolah rendah pada hujung minggu. Tidak cukup dengan itu, dia juga menjual kek lapis pada musim perayaan. Pengarang ingin mengambarkan bahawa himpitan ekonomi terutama sebagai seorang kerani biasa, tidak memungkinkan Fasihah hanya mengharapkan gaji bulanan untuk merealisasikan hasratnya melihat emak dan ayahnya pergi mengerjakan umrah.
Namun hasrat murninya itu musnah apabila dia ditipu oleh kawannya sendiri biarpun yang melibatkan aspek keagamaan. Inilah antara paradoks yang cuba diketengahkan oleh pengarang. Dewasa ini, ada golongan penyangak ini menggunakan simbol agama untuk memudahkan urusan penipuan berkenaan. Mereka sanggup menipu golongan yang begitu berharap untuk pergi ke Mekah seperti yang digambarkan melalui watak Normala. Semua itu bukan merupakan suatu keganjilan lagi pada masa sekarang, fitnah juga dilakukan oleh golongan yang dilabel sebagai golongan agamawan. Mereka menjadikan agama sebagai tunggangan untuk mencapai objektif duniawi. Biarpun, pengarang hanya memperkatakan tentang penipuan umrah tetapi tema ini boleh diibaratkan satu peluru dengan tiga atau empat sasaran. Di sinilah antara kejayaan pengarang untuk memberikan kritikan sosial kepada permasalahan yang begitu menghambat mentaliti dan kehidupan masyarakat sejak kebelakangan ini.
Antara punca kehidupan masyarakat yang tertekan hingga mengalami tekanan mental dan emosi ialah apabila meletakkan dunia di atas segala-gala lantas meminggirkan hubungan diri dengan Tuhan. Ramai yang tidak berserah dengan kebesaran Ilahi untuk percaya dengan qadak dan qadar. Inilah antara paradoks lain yang ditonjolkan oleh pengarang tatkala Fasihah tidak menyerahkan segala yang berlaku itu kepada ketentuan-Nya. Malah, menurut beberapa pendapat yang dibahaskan oleh golongan agamawan telah menegaskan bahawa orang yang ditipu ini dianggap sebagai mereka yang dizalimi dan doa golongan yang dizalimi ini sangat makbul sifatnya.
Sudah menjadi lumrah hidup seorang manusia yang berakal untuk menghadapi dugaan, musibah atau masalah dalam kehidupannya. Orang yang tenang akan melihat setiap masalah sebagai ujian. Ini bermaksud ujian itu boleh muncul dalam pelbagai bentuk dan cara bergantung pada kehidupan seseorang. Pendek kata, jika diberi pilihan manusia itu bertukar ujian masing-masing kerana melihat dan berpendapat ujian mereka ringan daripada yang orang lain lalui, sesungguhnya mereka juga tidak mampu memikulnya. Jadi, tipulah jika ada yang mengatakan langsung tidak terkesan dari segi perasaan atau kesihatan mental akibat mana-mana ujian yang mendatang. Ini kerana, fitrah manusia yang mempunyai hati dan perasaan yang mudah dikuasai oleh kesedihan, ketakutan, kekhuatiran atau kemarahan dalam kamus kehidupan mereka. Akan tetapi sudah menjadi sunnatullah bahawa kejadian di alam ini adalah berpasangan termasuklah apabila ada sedih datanglah gembira, apabila ada amarah pasti ada reda dan adanya tenang selepas tekanan. Adapun begitu bahawa ‘setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya’.
Perkara ini dijelaskan oleh pengarang melalui dialog Fasihah dan Azura pada pengakhiran cerpen berkenaan tatkala emak dan ayah Fasihah akan mengerjakan umrah apabila pakej umrah mereka telah ditaja oleh ahli jawatankuasa masjid di tempat tinggal mereka. Watak Fasihah sendiri pada pengakhiran cerpen tersebut mengakui tentang pentingnya menyerahkan segala perkara itu kepada aturan ketentuan-Nya yang penuh dengan hikmah yang tersendiri. Berikut merupakan dialog Fasihah tentang perkara berkenaan:
“Ya, hikmah disebalik apa yang berlaku kepada saya dan keluarga, Allah menjemput emak dan ayah ke sana. Semoga kehidupan saya akan terus lebih baik selepas ini dan mampu berhadapan dengan masyarakat. Saya perlu bersedia dengan pelbagai persepsi orang di luar sana terhadap pesakit mental seperti saya.”
Marie-Henri Beyle, seorang penulis Perancis pernah mengatakan: “Ketidakberuntungan dalam hidup lebih sering disebabkan oleh cara seseorang memandang kehidupannya”. Fasihah tentunya mengalami tekanan mental disebabkan berasa ketidakberuntungan dalam hidup sehingga kehilangan wang berjumlah RM20,000. Pengarang pula mempunyai keberuntungan kerana bakat penulisannya sehingga mampu mengolah cerpen dengan baik termasuk beberapa cerpennya yang tersiar sebelum ini di akhbar arus perdana. Bakat tersebut perlu terus diasah untuk lebih tajam menghasilkan karya yang keluar daripada arus konvensional atau mengarah kepada gaya High Definition Realism.
Namun terdapat beberapa kelemahan pada jalinan plot yang boleh ditingkatkan pengolahannya oleh pengarang. Dalam cerpen berkenaan, Fasihah sering menuduh Azura mencuri duitnya. Itu adalah gambaran bawah sedar yang sering mengganggu emosinya. Kegagalannya membawa emak dan ayahnya mengerjakan umrah kerana ditipu oleh Normala menyebabkan emosinya betul-betul terganggu. Dia terpaksa mengambil cuti tanpa gaji kerana tidak boleh berhadapan dengan orang luar. Akhirnya, dia ditempatkan di Wad Harmoni kerana masalah mental yang kronik dan dia juga sering berprasangka terhadap sesiapa yang ada di sekelilingnya termasuk kepada Azura – jururawat yang menyelia keberadaannya di hospital berkenaan. Walau bagaimanapun, apabila berdepan dengan Doktor Firdaus, Fasihah boleh bercerita dengan lancar seperti individu yang normal serta mengingati segala peristiwa yang menyebabkan dia mengalami masalah jiwa berkenaan. Dia ingat tentang watak Normala yang menipunya. Jadi bagaimana dia boleh menuduh Azura mencuri duitnya? Jikalau situasi itu berlaku pada waktu-waktu yang tertentu sahaja, gambaran yang diolah oleh pengarang begitu polos sehingga berjalan dengan begitu lancar – tanpa ada gambaran tentang sebarang gangguan emosi sewaktu sesi kaunseling itu dijalankan. Situasi itu yang perlu dibaiki oleh pengarang supaya cerpen ini lebih memberi impak kepada emosi pembaca.
Secara keseluruhannya, cerpen ini tetap dikategorikan sebagai sebuah karya yang berjaya terutama apabila dikarang oleh penulis muda yang mempunyai potensi yang luas dalam penulisan. Gaya bahasa pengarang diolah dengan lancar untuk menggerakkan jalinan plot yang telah ditulis dalam bentuk babakan daripada nombor I sehingga nombor III. Tidak ada kesilapan ejaan dan kesilapan tatabahasa yang dikesan dalam penulisan cerpen berkenaan. Maknanya, pengarang sangat teliti sebelum menghantar karya berkenaan kepada editor. Perkara sebegilah yang perlu dilakukan oleh penulis-penulis baharu yang ingin berjaya dalam penulisan.
Antara kelebihan lain yang ditonjolkan oleh pengarang dalam penulisan cerpen berkenaan ialah bahagian pendahuluan cerpen yang mampu merangsang minat pembaca untuk mengetahui lanjutan daripada konflik yang diketengahkan pada ayat pertama cerpen berkenaan lagi. Perhatian pendahuluan cerpen yang menggunakan teknik dialog ini:
“KAU kan yang curi duit aku! Pulangkan balik duit aku. Pulangkan!” Fasihah menjerit seperti dirasuk. Suaranya juga sudah serak kedengaran, akibat terlalu banyak menjerit. Di tubir mata penatnya sudah ada air mata yang mula menuruni pipi.
Pembaca akan tertanya-tanya, benarkah duit Fasihah dicuri? Mengapa watak tersebut terlalu marah dan sedih? Teknik dialog yang digunakan oleh pengarang berjaya menimbulkan unsur ketegangan dan dramatik pada bahagian pendahuluan cerpen berkenaan. Pengarang boleh juga menjadikan situasi di lapangan terbang tatkala menanti Normala yang tidak datang-datang sebagai pendahuluan cerpen. Namun ini hanya cadangan dan cadangan ini tentunya akan turut mengubah jalinan plot cerpen berkenaan.
Antara perkara yang sangat menonjol dalam karya ini ialah tentang nilai dan pengajaran yang dilontarkan oleh pengarang. Itulah antara kekuatan utama cerpen ini. Pengarang ingin menegaskan supaya jangan terlalu percaya dengan seseorang walaupun sahabat sendiri yang menjurus kepada sikap berhati-hati dan teliti sebelum membuat sesuatu tindakan. Fasihah tidak akan tertipu jikalau semua urusan mendapatkan pakej umrah daripada Normala mempunyai surat, dokumen atau resit rasmi – bukannya atas kepercayaan peribadi. Sememangnya manusia boleh berubah jikalau melibatkan wang ringgit terutama dalam keadaan yang memerlukan.
Pengarang juga menyelitkan tentang kepentingan mempunyai mental yang sihat untuk bertindak secara matang. Semua ini ada kaitan dengan nilai keagamaan yang akan mendekatkan seseorang dengan kekuasaan Ilahi agar tidak mengambil keputusan yang ditegah oleh agama.
Maknanya, ada tiga elemen utama yang ingin disampaikan oleh pengarang dalam cerpen ini iaitu tentang masalah psikologi, penipuan dan juga keagamaan sehingga membawa cerpen “Umrah Yang Tertunda” ini dihayati oleh pembaca. Dari aspek struktural, cerpen ini menepati ciri sebagai cerpen yang baik. Cuma sebagai karya sastera, peleraian konflik cerpen ini berlaku dengan begitu mudah tanpa elemen dramatik yang boleh menimbulkan ketegangan dan saspens kepada pembaca.
Sebagai penulis baharu yang tentunya mempunyai ruang dan peluang yang lebih besar dalam pengkaryaan, kata-kata Michael Chricton – seorang penulis Amerika – boleh dijadikan pedoman: Sebuah karya akan memicu inspirasi. Teruslah berkarya. Jika kau berjaya, teruslah berkarya. Jika kau gagal, teruslah berkarya. Jika kau tertarik, teruslah berkarya. Jika kau bosan, teruslah berkarya.
Semoga Nabillah Bolhassan terus berkarya tanpa mengira pujian atau kritikan yang diterima kerana anda mempunyai bakat yang menjanjikan dalam penulisan.