KUCHING: Kontinjen Sarawak menyasarkan 15 pingat emas untuk acara para akuatik renang pada temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) XXI 2024 yang akan berlangsung dari 22 hingga 28 September ini.
Penolong Chef De Mission (ACDM), Dayang Noorazah Awang Sohor berkata kesemua 28 atlet renang kini telah siap sedia untuk berentap dalam acara tersebut.
Daripada jumlah itu katanya, 26 orang merupakan atlet lelaki manakala dua atlet perempuan.
“Sarawak menghantar sebanyak 28 atlet renang bagi 51 acara daripada 60 acara yang dipertandingkan. Saya berharap kita mampu mencapai sasaran awal 15 pingat emas pada temasya itu nanti.
“Sememangnya besar harapan saya agar acara renang ini akan memungut banyak pingat emas buat kontinjen Sarawak.
“Dengan latihan yang padu dan disiplin tinggi serta komitmen atlet Para SUKMA Sarawak dalam acara renang ini, ia akan dapat membantu menambah kilauan emas bagi mencapai juara keseluruhan Para SUKMA XXI Sarawak 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis randau bersama kontinjen renang Para SUKMA Sarawak di salah sebuah hotel terkemuka di sini semalam yang turut dihadiri oleh Datuk Amar Jamilah Anu.
Dayang Noorazah berkata semangat yang ditunjukkan seluruh kontinjen akuatik renang Sarawak sangat positif dan berharap keyakinan diri ini menjadi pegangan mereka untuk berjuang meraih kemenangan pada temasya SUKMA XXI 2024 nanti.
Dalam pada itu, sukan renang para menawarkan 60 pingat dan melibatkan tiga kategori, dengan kontinjen Sarawak menyandarkan harapan pingat kepada lima atlet kategori penglihatan, 13 bagi kategori fizikal dan tujuh atlet termasuk dua wanita dalam kategori intelektual.
Pada temasya Para SUKMA ke-20 yang lalu, Kontinjen Sarawak memperoleh enam pingat emas dalam acara renang itu.
Pasukan renang dilatih oleh Sarini @ Syarbini Kedri sebagai ketua jurulatih, dibantu tiga jurulatih pasukan iaitu Imran Nawawi, Mandu Nyungkan, Mohamad Zamry Sapiee serta dua penolong jurulatih iaitu Mohammad Ali Seman dan Donny Sa.
Sementara itu, Sabbariah Amit menggalas tanggungjawab sebagai pengurus pasukan.
Oleh ADI SAFARMAN