PETRA JAYA: Walapun pernah mengalami strok pada 2020, itu bukan penghalang bagi Chong Cheng Tat meraih pingat emas dalam acara lontar peluru F34 (kerusi roda) lelaki pada temasya Para SUKMA XXI Sarawak 2024.
Menurut Chong, ini merupakan pencapaian luar biasa selepas berjaya mencatat lontaran sejauh 6.07 meter.
Beliau yang berusia 45 tahun itu pernah memecahkan rekod SUKMA dalam acara lontar besi pada 2000 di Pulau Pinang dan rekod tersebut dipegang selama 10 tahun sebelum dipecahkan oleh atlet terkenal, Jackie Wong.
“Bagi saya, ini memang kes yang istimewa. Dulu saya seorang yang normal, kini saya telah menjadi atlet para. Saya mengambil masa hampir setahun untuk mencapai pencapaian ini.
“Saya berharap kejayaan ini dapat memberi inspirasi kepada mereka yang menghadapi penyakit agar tidak berputus asa dan terus berusaha,” katanya ketika ditemui pemberita di Stadium Sarawak, hari ini.
Chong turut mendedahkan bahawa beliau sebenarnya bertangan kiri, tetapi kini terpaksa menggunakan tangan kanan akibat strok yang dialaminya sebelum ini.
Katanya, walaupun ini adalah penyertaan pertamanya dalam Para Sukma, beliau mengakui bahawa ia juga merupakan kali terakhirnya berikutan had umur yang ditetapkan.
Beliau turut menyatakan bahawa pengalaman dan latihannya di gimnasium adalah kunci kejayaannya.
“Saya berlatih keras untuk menguatkan badan dan pemulihan. Saya tidak mahu hanya duduk di rumah tanpa melakukan apa-apa.
“Saya ingin terus aktif dan sihat sekali gus dapat memberi contoh kepada semua orang supaya tidak mudah menyerah dalam menghadapi cabaran hidup,” katanya.
Dalam pada itu, atlet dari Kelantan, Hazrin Che Hassan meraih pingat perak dengan mencatat 6.05 meter manakala Muhd Nazir dari Johor mencatat 5.94 meter.
Majlis penyampaian pingat disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Oleh Mohd Neenatul Aizal