PETRA JAYA: Jaguh renang Sarawak, Fraidden Dawan muncul atlet paling banyak tuai emas pada temasya Para SUKMA 2024 setakat hari ini.
Anak Bintulu itu menyapu enam emas iaitu empat dalam acara individu dan dua lagi dalam acara berpasukan, menjadikannya penyumbang emas terbanyak secara keseluruhan, sekali gus mengesahkan imbuhan bernilai RM67,500 menjadi miliknya.
Emas individu perenang berusia 38 itu, muncul dalam acara 100m kuak dada kategori SB9, 50m gaya bebas kategori S10, 100m kuak lentang S10 dan 100m gaya bebas S10 manakala acara berkumpulan pula diraih melalui 4 x 100m gaya bebas dan 4 x 100m rampaian.
Beliau yang juga pembantu jurulatih atlet para di Majlis Sukan Negara (MSN) berasal dari Similajau, Bintulu ini juga muncul sebagai penyumbang pingat terbanyak Para SUKMA edisi kali ini bagi Sarawak.
Selepas itu, Galang Jabai, atlet renang yang bukan hanya memecahkan rekod dalam acara 50 meter gaya bebas S7 dengan catatan masa 34.59 saat, tetapi turut merangkul empat emas.
Beliau memenangi acara 100 meter gaya bebas S7, 4×100 meter gaya bebas dan 4x100m rampaian serta menambah dua pingat perak dalam acara 200 meter medley SM7/SM8 dan 50 meter kupu-kupu S6/S7.
Selain itu, Rusdianto Rusmadi, bukan sahaja membawa balik empat pingat emas dan dua perak, malah beliau juga memahatkan namanya sebagai pemegang dua rekod kebangsaan baharu dalam acara 100m gaya kuak lentang S7/S8 dan 200m rampaian individu SM7/SM8.
Dua lagi emas perenang berusia 31 tahun itu muncul dalam acara berpasukan iaitu 4x100m gaya bebas dan 4x100m rampaian, manakala perak dimenanginya muncul dalam acara 400m gaya bebas S8/S9 dan 50m gaya bebas S8.
Seorang lagi atlet para renang tuan rumah, Mully Andriano turut beraksi cemerlang dengan kutipan tiga emas, satu perak dan dua gangsa.
Anak kelahiran Lawas itu meraih emas dalam acara 100m gaya kuak kupu-kupu S9/S10, 4x100m gaya bebas dan 4x100m rampaian.
Perenang berasal dari Kapit, Donny Jaranding turut memperoleh empat emas melalui acara 100m gaya bebas S13, 100m kuak lentang S13, 100m kuak dada SB13 dan 50m gaya bebas S13.
Richard Bada, atlet lontar peluru, juga mengungguli kejohanan ini dengan meraih tiga pingat emas, sekali gus mengukuhkan namanya sebagai salah seorang atlet terbaik dalam kategori olahraga.
Tiga pingat emas dirangkul Richard adalah daripada acara lempar cakera F41, rejam lembing F41 dan lontar peluru F41.
Atlet para olahraga Sarawak, Filemon Lirong Dionisus turut memperoleh tiga emas dalam acara 100m, 200m, 400m T11.
Satu-satunya atlet para wanita Sarawak yang memperoleh tiga emas adalah atlet para olahraga, Noshazwani Maisara Marzuki dalam acara 100m T37, 200m T37 dan rejam lembing F37.
Oleh SHAHRUL QAIZAT