KUCHING: Keputusan meninggalkan kampung halaman dan berhijrah ke ibu negara sejak tahun lepas semata-mata untuk mengembangkan kerjaya sukan powerlifting diceburinya menjadi pengorbanan terbesar yang pernah dilakukan atlet para negara Azlan Mos, 33.
Pemegang rekod kebangsaan dengan angkatan 171 kilogram (kg) bagi kategori lelaki bawah 65kg itu juga terpaksa meletakkan jawatan dalam bahagian inventori di sebuah pasar raya di sini setelah hampir lima tahun menabur bakti.
Mula mewakili negeri dalam sukan tenpin boling di pentas Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 dan 2018, anak jati Sebuyau itu tekad melangkah keluar dari zon selesa dengan beralih ke acara powerlifting pada edisi seterusnya.
“Pada 2019, saya fikir yang kerdil (tenpin bowling) tidak dipertandingkan di luar negara… bukan saya nak memperkecilkan sukan itu tetapi saya ingin pergi jauh untuk masa depan dan kerjaya saya.
“Orang kata badan sakit main powerlifting tapi kebanyakan sukan memang sakit, tiada yang senang, jadi kena lalui semuanya kalau nak berjaya, contohnya Bonnie Bunyau Gustin juga bermula dari bawah,” katanya yang berhijrah berikutan diserap masuk dalam skuad kebangsaan.
Badang Sarawak itu berkata pertukaran jenis sukan dari tenpin boling ke powerlifting mendapat dorongan serta sokongan sepenuhnya daripada keluarga dan orang sekelilingnya, khususnya ibu tercinta.
Azlan membuktikan keputusan untuk berlatih di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) kian membuahkan hasil apabila mempertahankan pingat emasnya menerusi angkatan terbaik 171kg yang dicapainya di temasya Para SUKMA 2024, sekali gus memadam rekod 170kg yang dipegang jaguh powerlifting negara Bonnie sewaktu edisi 2018.
Kejayaan anak ketiga daripada lima beradik itu juga menjadikan skuad tuan rumah menyambar satu lagi emas bagi jumlah angkatan keseluruhan 465kg setelah mengangkat 150kg, 155kg dan 160kg.
“Saya selalu beri elaun bulanan kepada ibu dan untuk insentif SUKMA kali ini, saya akan jadikan sebahagiannya sebagai simpanan dan semestinya beri bonus juga kepada orang tua saya di kampung,” katanya yang tidak lokek dengan senyuman di luar dan dalam gelanggang.
Berazam untuk mengharumkan nama negara, beliau berharap untuk memperbaiki catatan peribadinya di pentas Powerlifting World Cup 2024 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu serta Sukan Para ASEAN 2025 di Thailand nanti.
“Latihan untuk bench press memang selang hari iaitu Isnin, Rabu dan Jumaat kemudian hari Selasa akan fokus latihan di gimnasium, jumlah jam bergantung kepada jurulatih.
“Ini kali kedua saya akan sertai Powerlifting World Cup di Dubai… kali terakhir saya hanya mendapat ranking terbaik daripada 50 orang yang bertanding, jadi nak perbaiki kedudukan juga,” katanya yang dikenali dengan nama ‘Param’ oleh rakan-rakannya.– BERNAMA