PETRA JAYA: Dorongan dan sokongan padu keluarga menjadi kunci kejayaan tiga beradik dari Kapit, Donny, Julius, dan Stanley Jaranding, yang berjaya menghadiahkan tiga pingat dalam acara renang di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, di sini, hari ini.
Donny Jaranding, anak kedua daripada empat beradik, menyumbangkan pingat emas dalam acara 100 meter (m) gaya bebas lelaki kategori S13 (gangguan penglihatan) dengan catatan masa 1 minit 18 saat.
Kemenangan tersebut amat manis bagi Donny kerana ini merupakan kali terakhir beliau akan bertanding dalam Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) atas faktor had umur.
“Saya sangat-sangat berterima kasih kepada jurulatih dan keluarga saya atas sokongan yang diberikan selama ini.
“Saya dedikasikan emas ini untuk keluarga saya, khususnya ibu bapa saya yang sering memberi sokongan sejak kali pertama kami menyertai Para SUKMA pada 1998,” katanya ketika ditemui pemberita selepas upacara penyampian pingat di Pusat Akuatik Pendelela Rinong, di sini, hari ini.
Dalam pertandingan tersebut, perak dimenangi oleh Muhammad Haziq Abdul Halim dari Kedah, dengan catatan masa 1 minit 37.33 saat, manakala gangsa milik Muhammad Amin Zakaria, juga dari Kedah, dengan masa 1 minit 44.13 saat.
Adik bongsu Donny, Julius, turut menunjukkan prestasi cemerlang dengan memenangi pingat perak dalam acara 100m gaya bebas kategori S12 (gangguan penglihatan), mengalahkan abangnya Stanley, yang menduduki tempat ketiga dalam acara yang sama.
Kejayaan tiga beradik ini menjadi bukti bahawa kekuatan ikatan keluarga dan sokongan tidak berbelah bahagi mampu mengatasi cabaran yang dihadapi.
Sokongan moral daripada keluarga mereka menjadi inspirasi yang kuat untuk terus mencipta kejayaan demi kejayaan di gelanggang sukan.
Dalam pada itu, Stanley Jaranding menyatakan bahawa beliau sendiri dan Donny sebenarnya berasal dari sukan olahraga sebelum menceburi bidang renang, tidak seperti adik bongsunya, Julius yang terus menceburi bidang tersebut.
Menurut Stanley, antara sebab beliau menukar haluan adalah kerana gurunya, Matthew Chin yang melihat kebolehannya dalam acara renang.
Katanya, beliau menceburi bidang renang pada 2000 manakala Donny mengikut jejak langkahnya pada 2018.
“Saya sangat gembira dengan keputusan saya untuk menukar haluan ke acara renang, keputusan saya ini banyak membuahkan hasil,” katanya.
Satu lagi pingat perak turut dimenangi dalam acara 400m gaya bebas lelaki kategori S8/S9 oleh Rusdianto Rusmadi pada sesi pagi pertandingan.
Ketika ditemui Utusan Sarawak, Julius menyatakan sasarannya untuk mendapat emas dalam acara 100m kuak dada yang akan diadakan esok.
“Ini adalah acara kegemaran saya, saya harap saya akan membawa pulang emas untuk Sarawak,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT