PETRA JAYA: Atlet angkat berat Sarawak, Bryan Junency Gustin, 27, berhasrat mengikut jejak langkah adiknya, Bonnie Bunyau Gustin,25, dalam sukan powerlifting di peringkat antarabangsa.
“Yang paling penting, saya berbangga dengan pencapaian beliau dan berharap dapat mencapai tahap yang sama suatu hari nanti,” kata Bryan.
Bryan mencuri perhatian di Para Sukan Malaysia ke-21 (Para SUKMA XXI) hari ini apabila berjaya meraih dua pingat emas dalam acara powerlifting kategori 88 kilogram (kg) serta memecahkan rekod kebangsaan dan kejohanan.
Bonnie, anak kelahiran Kampung Baru Mawang- Serian ini mencipta rekod dunia baharu dengan mengangkat 232kg dalam acara akhir 72kg lelaki di Paralimpik Paris bulan lepas, sekali gus memperoleh pingat emas kedua Malaysia.
Bryan turut menyuarakan rasa bangga terhadap pencapaian adiknya itu yang mengharumkan nama Malaysia dan Sarawak.
Hari ini, Bryan memulakan aksinya dengan cemerlang apabila mencatatkan angkatan 180 kg pada percubaan pertama dan 185 kg pada percubaan kedua.
Detik paling manis baginya tiba apabila berjaya memecahkan rekod kebangsaan dengan angkatan 191 kg pada percubaan ketiga, sekali gus meraih pingat emas dalam kategori angkatan terbaik.
Bagaimanapun, usaha Bryan untuk memecahkan rekod baru dengan angkatan 201 kg dalam pusingan ‘power lift’ tidak kesampaian apabila percubaannya ditolak oleh juri kerana ketidakstabilan semasa angkatan.
Menurut Bryan, percubaannya gagal kerana secara tidak sengaja menyentuh rak barbel.
Walaupun begitu, pencapaian Bryan tetap membanggakan apabila dia turut memenangi emas kedua peribadi dengan angkatan keseluruhan 556 kg, menewaskan Chee Der Min dari Perak yang meraih perak dengan angkatan 365 kg, dan Mohd Nazrisa’arizal Mat Saad dari Selangor yang meraih gangsa dengan 307 kg.
Kejayaan Bryan menambah koleksi pingat Sarawak dan mengukir namanya dalam sejarah sukan negara.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah, menyatakan bahawa pencapaian Bryan bukan sahaja membanggakan kontinjen Sarawak tetapi juga memperkukuh reputasinya sebagai atlet bertaraf kebangsaan.
“Saya sangat bangga dengan pencapaiannya, terutamanya apabila dia bukan sahaja meraih dua pingat emas, tetapi juga berjaya melakar rekod baharu kebangsaan,” kata Fatimah yang turut bertanggungjawab dalam temasya Para SUKMA kali ini.
Oleh SHAHRUL QAIZAT