KUCHING: Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024 yang melabuhkan tirai di Stadium Perpaduan di sini, malam tadi, menonjolkan beberapa bakat baharu berpotensi untuk diserap ke dalam skuad badminton para negara.
Jurulatih skuad badminton para negara, Muhammad Syafiq Iqbal Mohd Nadzri berkata beliau telah mengenal pasti beberapa pemain muda yang berpeluang mendapat tempat dalam program pelapis kendalian Majlis Sukan Negara (MSN).
Beliau berkata antara barisan pemain muda menggamit perhatiannya ialah atlet yang beraksi dalam tiga acara kelas kecacatan fizikal iaitu perseorangan lelaki SU5, perseorangan wanita SH6 dan perseorangan wanita SL4.
“Secara keseluruhan saya puas hati dengan bakat baharu dalam Para SUKMA kali ini. Mereka ini ada potensi dan boleh diserapkan (program pelapis) namun bergantung kepada (pertimbangan) MSN.
“Walaupun rata-ratanya masih muda dalam kalangan 18 hingga 24 tahun, mereka perlu digilap lagi dengan program latihan mantap untuk pergi lebih jauh,” katanya kepada Bernama.
Seandainya nama yang dicadangkan dipersetujui MSN, beliau berkata kesemua mereka bakal berlatih di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan, Kuala Lumpur.
Muhammad Syafiq pada masa sama gembira melihat prestasi dipamerkan atlet yang telah berada di bawah program MSN dengan kesemua mereka merangkul emas dalam kategori masing-masing.
Antaranya Mohamad Faris Ahmad Azri dari Terengganu yang menggondol emas perseorangan lelaki SU5, johan perseorangan lelaki SH6 Muhammad Amin Azmi (Pulau Pinang) dan pemenang perseorangan lelaki SL4 Mohd Yusman Zahar (Johor).
“Saya sangat puas hati dengan persembahan dipamerkan atlet di bawah naungan program dengan ada di antara mereka bertembung sesama sendiri di pentas final,” katanya.
Sukan badminton yang berlangsung selama lima hari sejak Isnin lepas hingga Jumaat di Dewan Persatuan Badminton Sarawak di sini, menyaksikan skuad Perak cemerlang di tangga teratas dengan kutipan tiga emas, dua perak dan tiga gangsa.
Kontinjen tuan rumah, Sarawak berada di tempat kedua dengan tiga emas, satu perak dan empat gangsa manakala Pulau Pinang muncul pasukan ketiga terbaik (1-2-0).
Sarawak muncul juara keseluruhan temasya dwitahunan tersebut dengan 82 emas, 53 perak dan 74 gangsa sekali gus merampas takhta daripada Sabah yang menduduki tangga kedua carta pungutan pingat (62-42-32) dan Johor muncul pasukan ketiga terbaik (33-35-29) daripada keseluruhan 15 kontinjen bertanding kali ini.– BERNAMA