PETRA JAYA: Di sebalik pelbagai cabaran ditempuhi, atlet olahraga Sarawak, Andy Lau Sie Hui masih berupaya meraih pingat emas dalam acara 1,500 meter lelaki T12 pada Para SUKMA XXI Sarawak 2024.
Ini kerana Andy Lau sering menghadapi pelbagai cabaran, terutamanya beliau bukan atlet sepenuh masa kerana bekerja sebagai operator telefon di Sarawak Energy Berhad, yang memerlukannya untuk bekerja dari 8 pagi hingga 5 petang.
“Selepas waktu kerja, saya luangkan masa sedikit untuk buat latihan kekuatan, teras dan beberapa latihan di sebelah bilik tidur saya.
“Selain itu, saya pergi ke taman awam pada masa lapang dan terpaksa berkongsi ruang dengan orang lain ketika melakukan larian atau joging kerana saya takut dilanggar.
“Saya ada masalah penglihatan. Oleh itu, saya perlu berhati-hati untuk menjaga diri dan elak daripada dilanggar,” katanya ketika ditemui pemberita di Stadium Sarawak di sini, hari ini.
Atlet berusia 30 tahun itu berjaya memecahkan rekod temasya dengan mencatat masa 5:19:82, mengatasi rekod yang dipegang oleh Ranggong Unggang dari Sarawak pada 2010 iaitu 5:20:53.
Menurutnya, kejayaan kali ini lebih manis kerana keadaan fizikalnya berada pada tahap optimum, berbeza dengan temasya sebelumnya di mana beliau tidak berada dalam situasi yang terbaik.
“Saya rasa sangat gembira. Ini tidak dijangka sebab Para Sukma sebelum ini saya memang menang emas untuk 1,500 meter tetapi waktu itu, keadaan badan saya tidak 100 peratus seperti hari ini,” katanya.
Tambahnya lagi, persediaan rapi yang dilakukan sejak sebulan lalu telah membuahkan hasil, dengan beliau berjaya mencatat masa yang lebih baik daripada jangkaannya.
“Saya sangat-sangat bersedia dari segi fizikal dan mental. Setakat ini, saya tiada kecederaan. Hari ini, saya pecahkan rekod,” ujarnya.
Dalam pada itu, Andy turut menyatakan bahawa beliau telah menyertai Para SUKMA sejak berusia 18 tahun dan telah mengumpul sebanyak lima pingat emas sepanjang penyertaannya dalam temasya sukan tersebut.
Katanya, pada temasya kali ini, beliau menyasarkan dua lagi pingat emas dalam acara 800 meter dan 400 meter.
Pada masa sama, atlet dari Johor, Muhamad Fahmi Daniel Roslan meraih pingat perak dan Simon Etam Emang dari Sarawak mendapat pingat gangsa.
Oleh Mohd Neenatul Aizal