PETRA JAYA: Atlet angkat berat Sarawak, Azlan Mos, mencuri tumpuan di Para SUKMA XXI Sarawak 2024 apabila meraih dua pingat emas dalam kategori 65 Kilogram (kg) powerlifting serta memecahkan rekod kebangsaan dan kejohanan.
Detik manis pemain kebangsaan itu adalah ketika memenangi pingat emas selepas memecahkan rekod kebangsaan dengan angkatan 171 kg dalam pusingan ‘power lift’, mengatasi rekod Bonnie Bunyau Gustin (170 kg) pada 2018.
Azlan memulakan aksinya dengan cemerlang apabila mencatatkan angkatan 150 kg pada percubaan pertama, 155 kg pada percubaan kedua dan 160 kg pada percubaan ketiga, sekali gus memenangi pingat emas dengan angkatan keseluruhan 465 kg.
Beliau berjaya menewaskan Muhammad Akmal Danish Mohamad Supi dari Perak yang meraih perak dengan angkatan 425 kg, dan Muhamad Syalqi Mohd Shikri dari Perlis yang meraih gangsa dengan 333 kg.
Menurut Azlan, keputusannya beralih kepada sukan powerlifting daripada tenpin boling dilihat berbaloi apabila berjaya meraih pelbagai kejayaan sehingga ke peringkat dunia.
“Sukan tenpin boling tidak dipertandingkan bagi kategori kerdil di luar negara. Jadi, saya fokus untuk beralih kepada sukan powerlifting.
“Selepas ini, saya akan meneruskan perjuangan pada kejohanan dunia di Dubai pada Februari tahun depan,” katanya kepada pemberita di Dewan Serbaguna Jabatan Belia dan Sukan Sarawan di sini, hari ini.
Katanya, sokongan daripada ibu dan jurulatih juga menjadi pembakar semangat untuk beliau mencapai kejayaan yang luar biasa ini.
Dalam pada itu, majlis penyampaian pingat telah disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman.
Oleh Mohd Neenatul Aizal