KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg optimis kontinjen Sarawak mampu mencapai sasaran 83 emas pada temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) XXI 2024 ini.
Abang Johari berkata kejayaan atlet pada SUKMA 2024 lalu dengan meraih emas melepasi sasaran bakal menyuntik semangat atlet para dalam kejohanan yang bermula 22 hingga 28 September ini.
“Insentif yang diberikan jika mendapat emas adalah setara dengan atlet SUKMA, iaitu RM15,000.
“Untuk Para SUKMA, kita sasarkan 83 emas… 83 kali RM15,000… lebih RM1 juta.
“Jangan risau, Abang Johari ada (menyokong) di belakang. Hanya fokus sasarkan emas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan bendera Kontinjen Para SUKMA Sarawak sempena Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di Pusat Acara Hikmah Exchange (HEEC) di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak bersedia melabur dana bagi menyiapkan Kampung Sukan yang bermodelkan kampung sukan di New Zealand.
Katanya, kampung sukan itu akan menyediakan kemudahan sukan yang komprehensif bagi kegunaan para atlet negeri ini.
“Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan saya akan terus memberi fokus kepada pembangunan sukan di negeri ini kerana kita percaya melalui sukan kita dapat membina disiplin dalam kalangan anak-anak Sarawak.
“Dengan disiplin yang padu dalam diri mereka, maka percayalah lebih mudah untuk kita membangunkan Sarawak kerana pembangunan juga memerlukan disiplin yang tinggi,” tambahnya.
Dalam pada itu, Abang Johari turut menzahirkan terima kasih kepada Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA XXI Sarawak 2024, Datu Hii Chang Kee dan pasukannya yang berjaya menaik taraf kemudahan sukan di Sri Aman, Bintulu dan Miri.
Katanya, kejayaan menambah baik fasiliti dan penganjuran SUKMA 2024 itu menaikkan keyakinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kemampuan Sarawak menganjurkan kejohanan di peringkat yang lebih tinggi seperti Sukan SEA 2027.
Oleh RYNNA SHA’ERRA
Gambar
Sekitar majlis penyerahan bendera Kontinjen Para SUKMA Sarawak sempena Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di Pusat Acara Hikmah Exchange (HEEC) di Kuching hari ini yang turut dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Foto HERRIEY NAHA.