KUCHING: Persaingan dijangka lebih menarik esok apabila 78 pingat emas menjadi rebutan atlet, jumlah terbanyak yang ditawarkan pada Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) Sarawak 2024.
Daripada jumlah itu, olahraga menawarkan pingat emas paling banyak dengan 34 butir yang menjadi buruan atlet trek dan padang, diikuti 15 emas di kolam renang di Pusat Akuatik Pandelela Rinong.
Catur turut menjadi tumpuan dengan 12 pingat emas, tenpin boling dan powerlifting masing-masing menawarkan enam emas, manakala lima emas di arena ping pong.
Sementara itu, empat lagi rekod kebangsaan lebur hari ini menerusi acara powerlifting dan renang.
Antara yang mencuri tumpuan adalah aksi atlet powerlifting Kelantan Ahmad Shamim Mohd Kadri, yang memecahkan rekod kebangsaan bagi kategori 54 kilogram (kg) lelaki menerusi angkatan 132kg, mengatasi rekod 125kg yang dilakukannya di Sirkit Kebangsaan pada Februari lalu.
Bryan Junency Gustin, abang kepada jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau, turut mencatatkan rekod kebangsaan dan rekod temasya dengan angkatan 191kg bagi kategori 88kg, hanya sekilogram mengatasi angkatan 190kg Nicodemus Manggoi Moses pada edisi 2022 di Kuala Lumpur.
Perenang Sabah, Shahafiq Abdullah memperbaharui rekod kebangsaan acara gaya bebas lelaki 100 meter (m) S6 (kecacatan fizikal) selepas menamatkan saingan dengan catatan 1 minit 17.18 saat (s) mengatasi rekod 1:17.92s miliknya tahun ini.
Skuad renang Selangor turut memecah rekod acara 4x100m gaya bebas lelaki menerusi Muhammad Zhafri Adam Mohd Azmi, Muhammad Alif Sufi Muhammad Azizul, Danish Haiqal Ahmad Firdaus dan Nik Muhammad Joe Asyraf Nik Rafizal selepas mencatat 4:02.06s, mengatasi rekod 4:06.51s pada 2017.
Dua hari selepas acara berpingat bermula, Sarawak mengungguli kedudukan teratas kutipan pingat dengan 37 emas, 23 perak dan 25 gangsa, diikuti juara bertahan Sabah (28-15-12) dan Selangor (13-18-16).
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah hari ini meminta kontinjen tuan rumah kekal fokus dan terus berjuang untuk memastikan atlet Bumi Kenyalang mencapai sasaran 83 emas, sekali gus merampas kembali gelaran juara keseluruhan daripada Sabah.
“Kita belum boleh selesa lagi, harus fokus. Apabila kita dah capai sasaran baru rasa selesa, sebab setiap sukan ada sasarannya. Ada yang belum capai sasaran, persaingan sengit.
“Sabah juara edisi lepas, mereka pasti mahu mengekalkan kejuaraan dan ingat pengalaman pahit di Para SUKMA lalu, dikalahkan Sabah. Ingat macam mana perasaan ketika itu dan kuatkan iltizam untuk capai sasaran,” katanya kepada pemberita hari ini. — BERNAMA