KUALA LUMPUR: Filem animasi Papa Zola The Movie akan ditayangkan di pawagam seluruh Korea Selatan mulai 2 September ini.
Pengarah Media MONSTA Faiz Zainal Aabidin berkata syarikat itu menghargai kepercayaan rakan pengedar dan pawagam di Korea Selatan yang melihat potensi filem berkenaan serta memilih untuk membawanya kepada penonton negara tersebut.
“Bagi kami, kepercayaan ini bukan sahaja satu peluang untuk memperkenalkan animasi Malaysia tetapi juga satu pengiktirafan bahawa cerita yang kami hasilkan mempunyai daya tarikan yang boleh merentasi budaya dan sempadan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut MONSTA, pencapaian itu amat bermakna kerana berjaya menarik keyakinan pengedar antarabangsa terhadap karya, nilai dan budaya Malaysia yang diketengahkan syarikat berkenaan.
Menurut kenyataan itu, Papa Zola The Movie merupakan filem MONSTA kedua yang berjaya menembusi pawagam Korea Selatan selepas BoBoiBoy The Movie pada 2016.
“Daripada ‘Papa’ kini menjadi ‘Oppa’, Papa Zola bersedia menyapa para penonton di negara itu dengan aksi, pengembaraan dan jenaka yang pastinya mencuit hati serta menghiburkan,” katanya.
Selepas Korea Selatan, Papa Zola The Movie dijadualkan meneruskan tayangan di beberapa pasaran lain termasuk Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Kuwait pada 23 September ini, sebelum mengembangkan lagi tayangan ke Australia, New Zealand dan India.- Bernama





