
KUALA LUMPUR: Watak adiwira kegemaran ramai daripada siri animasi BoBoiBoy, Papa Zola tampil dengan filem solo pertamanya Papa Zola The Movie yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia dan Brunei mulai Khamis ini, diikuti Singapura pada minggu sama.
Diterbitkan oleh MONSTA dan Astro Shaw, naskhah itu berkisar pada asal usul Papa Zola yang belum pernah didedahkan melalui pendekatan filem berdiri sendiri, justeru tidak memerlukan penonton mengikuti siri BoBoiBoy atau Papa Pipi terlebih dahulu untuk mengenali watak ini.
Berlatarkan Kuala Lumpur, filem tersebut menggabungkan unsur aksi, komedi dan drama dalam skala lebih besar, selain memperkenalkan kematangan dunia Papa Zola melalui visual, reka bentuk dunia serta teknik animasi yang dipertingkat.
Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA Nizam Abd Razak berkata filem itu merupakan percubaan pertama studio tersebut menampilkan watak dewasa sebagai tunjang utama, selain memperkenalkan dimensi emosi baharu kepada karakter yang sebelum ini lebih dikenali melalui elemen jenaka.
“Kali ini Papa Zola bukan lagi superhero kanak-kanak. Tema filem lebih grounded dengan fokus pada kedewasaan dan kehidupan harian,” katanya pada sidang media selepas tayangan gala filem itu baru-baru ini.
“Penulisan dan pengarahan juga sangat berbeza kerana kami perlu memasukkan layer of depth pada emosi Papa Zola dan melihat bagaimana dia bertindak dalam situasi tertentu,” tambah beliau.
Mengulas lanjut, Nizam yang juga pengarah dan penulis skrip filem itu, berkata Papa Zola The Movie direka sebagai karya berdiri sendiri bagi memudahkan penonton menikmati filem tersebut tanpa perlu merujuk naratif terdahulu.
“Di pasaran antarabangsa, jika sesuatu filem memerlukan latar siri, ia menyukarkan tayangan. Tetapi Papa Zola diterima baik apabila kami ‘pitch’ filem ini di Singapura dan Cannes, termasuk kepada pembeli dari Itali, Sepanyol dan Timur Tengah.
“Mereka melihat watak ini sebagai karakter yang boleh pergi jauh,” katanya sambil menambah beliau sendiri menyumbangkan suara untuk watak utama itu, satu keputusan yang pada awalnya tidak dijangka.
Mengenai pasaran eksport, Nizam berkata filem itu akan memasuki Indonesia pada 16 Januari tahun depan sebelum diperluas ke Vietnam, India serta pasaran Timur Tengah termasuk Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Oman, Qatar, Bahrain dan Turkiye bermula April.
Papa Zola The Movie mengisahkan Papa Zola, seorang bapa yang bekerja keras menyara keluarga kecilnya sebelum anaknya, Pipi, diculik makhluk asing. Bersama-sama isterinya Mama Zila, mereka perlu menyelamatkan Pipi dan menghalang ancaman terhadap dunia.
Tiket tayangan awal yang dibuka sejak 22 November lepas menerima sambutan menggalakkan dengan kebanyakan slot habis dijual, sekali gus mendorong pihak penerbit membuka tayangan awal tambahan pada esok. – Bernama