BANGKOK: Kelihatan beberapa orang yang memakai penutup hidung dan mulut, beratur menunggu giliran untuk mendapatkan barangan makanan serta keperluan asas lain yang disediakan ‘Pantry of Sharing’ di Sukhumvit Soi 71, Bangkok di di sini.
Seorang ibu bersama anaknya tekun memilih dua tin sardin dan beberapa bungkus mi segera, dan kemudian tunduk hormat sebagai tanda terima kasih.
Menerusi inisiatif itu makanan dan keperluan asas diletakkan dalam almari – untuk penduduk kampung dan di bandar yang terjejas kerana wabak Covid-19.
Projek itu diilhamkan daripada ‘Little Free Pantry’ di Amerika Syarikat.
Ditubuhkan oleh Little Brick, sebuah kumpulan sukarelawan diketuai Supakit Kulchartvijit, 33, berikutan peningkatan kadar pengangguran di Thailand akibat wabak Covid-19.
Bermula pada 27 April dengan hanya lima buah almari – empat di Bangkok dan satu di wilayah barat Rayong – inisiatif itu kini semakin meluas ke semua wilayah dengan 618 almari.
“Ketika pertama kali saya berkongsi idea di laman Facebook, ramai yang ragu-ragu. Namun, kami nekad untuk mencuba.
“Pada hari pertama kami menghabiskan kira-kira 10,000 baht untuk menyediakan lima almari dan ia berjaya…Lima almari itu masih kekal dan banyak yang tampil membantu untuk mengisi semula almari dengan barangan makanan.
“Menerusi video yang dimuat naik mengenai almari itu minggu lalu dan tular di media sosial. Kami tidak menyangka sambutan diterima luar biasa kerana ramai yang turut mewujudkan almari yang sama di komuniti mereka. Jumlah (almari) meningkat dengan ketara,” katanya kepada Bernama.
Namun, terdapat juga kes dilaporkan media tempatan ada orang mengambil semua makanan yang ada dalam almari.
“Kami harap semua orang ambil ikut keperluan dan berkongsi dengan orang lain. Jangan pentingkan diri sendiri,” kata Supakit.
Jesada, 40, yang kehilangan pekerjaan berkata ‘Pantry of Sharing’ satu inisiatif murni, serba sedikit dapat meringankan beban mereka yang senasib dengannya.
“Inisiatif itu dapat membantu mereka yang tidak mempunyai pendapatan, hilang pekerjaan,” kata bekas pekerja hotel itu.
Sementara itu, Essa, 37, yang mengisi semula almari dengan beberapa jenis makanan berharap sumbangannya dapat membantu mereka yang memerlukan.
“Saya cuba membantu sekadar termampu untuk meringankan beban mereka dalam mengharungi saat sukar ini,” katanya.
Dilaporkan sekurang-kurangnya 700,000 orang hilang pekerjaan sejak Januari tahun ini susulan pandemik Covid-19- Bernama