MARUDI: Selaras dengan hala tuju mencapai negara maju, terutama dari sudut digital dan akses internet, ibu bapa perlu memfokuskan serta mengambil berat etika aktiviti digital kanak-kanak.
Pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Marudi, Therry Noel George Anyi berkata teknologi merupakan salah satu medium keperluan dalam pendidikan termasuk kanak-kanak Tabika dan Taska yang merupakan generasi era digital.
Namun begitu katanya, penggunaan teknologi yang tidak terkawal serta secara berlebihan akan mengganggu perkembangan fizikal, emosi, mental dan sosial kanak-kanak.
“Susulan itu, KEMAS telah mengambil inisiatif menyediakan tips ringkas kepada guru dan juga ibu bapa tentang keselamatan serta etika aktiviti digital Tabika dan Taska KEMAS sebagai panduan.
Tegasnya, antara panduan yang perlu dilakukan ialah duduk bersama-sama dan awasi anak semasa mereka menggunakan peranti mudah alih atau gajet.
Selain itu, ibu bapa perlu menetapkan profil YouTube Kids dan menghentikan fungsi ‘auto play’.
“Tetapkan privasi yang tinggi dengan setiap pelayar, permainan dan aplikasi serta hadkan penggunaan peranti atau masa skrin anak-anak tidak lebih daripada sejam sehari,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis Apresiasi Tabika KEMAS Parlimen Baram Sesi 2024/2025 di Dewan Suarah Marudi, baru-baru ini.
Sementara itu, perasmian majlis tersebut telah disempurnakan oleh Pegawai Tadbir Sarawak (SAO) Pejabat Daerah Marudi, Vanessa Joseph.
Beliau menambah, penglibatan ibu bapa terhadap pendidikan awal kanak-kanak akan membantu meningkatkan kualiti sesebuah program tadika dengan menyumbang tenaga dan berkongsi kebolehan dalam program pendidikan awal kanak-kanak.
Dalam pada itu, beliau menegaskan penglibatan ibu bapa dalam aktiviti pembelajaran kanak-kanak secara tidak langsung boleh meningkatkan kendiri kanak-kanak dan ibu bapa itu sendiri.
Katanya, ibu bapa boleh menjadi pendidik di rumah melalui penglibatan dalam aktiviti pembelajaran anak-anak.
Tambahnya, ibu bapa yang sering terlibat dalam aktiviti pembelajaran seperti meluangkan masa membaca buku cerita, memberi peluang kanak-kanak mengenali potensi diri dan sebagainya, mampu menjadikan kanak-kanak tersebut seseorang yang mempunyai jati diri serta berkeyakinan tinggi.