
BINTULU: Keadaan Pantai Ria di Tanjung Batu yang dipenuhi sampah sarap menimbulkan kebimbangan serius terhadap imej Bintulu sebagai bandar bersih dan mesra pelancong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, situasi itu mencerminkan kegagalan pengurusan sisa yang boleh menjejaskan reputasi negeri jika terus dibiarkan.
“Saya percaya sampah ini berpunca daripada banjir sebelum ini yang hanyut dan terkumpul di kawasan pantai.
“Keadaan ini amat mencacatkan pemandangan dan memberi imej buruk kepada Bintulu,” katanya kepada media semasa mengadakan tinjauan ke lokasi tersebut, hari ini.

Beliau berkata, tindakan segera perlu diambil bukan sahaja untuk menjaga kebersihan, malah mengelakkan insiden itu daripada menjadi tular di media sosial yang boleh menjejaskan imej Bintulu bahkan Sarawak.
“Kalau perkara ini ‘viral’, ia bukan sekadar memalukan, malah menjejaskan imej negeri.
“Sebab itu kita ambil pendekatan proaktif dengan memanggil agensi berkaitan untuk turun padang dan cari penyelesaian,” tegasnya.
Menurut beliau, isu pencemaran seumpama itu memerlukan pelan jangka panjang yang lebih menyeluruh melibatkan kerjasama antara agensi dan masyarakat.
“Ini bukan sekadar isu sampah, tetapi soal kesihatan awam, ancaman terhadap hidupan marin dan maruah bandar ini sendiri.
“Oleh itu, langkah susulan mesti dirancang dengan teliti,” ujarnya.
Dalam pada itu, Johnny Pang turut memaklumkan bahawa satu program gotong-royong anjuran Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) bersama syarikat swasta akan diadakan dalam masa terdekat bagi membersihkan kawasan Pantai Ria sekali gus menggalakkan penyertaan orang awam.
Oleh Carolyne Utih