
KUCHING: Panggung Udara Kuching bergema malam ini apabila ribuan peminat muzik membanjiri kawasan sekitarnya sempena malam kemuncak Festival Muzik Kuching 2025, meskipun hujan renyai-renyai membasahi bandar raya ini.
Kemeriahan memuncak apabila ikon seni suara tanah air, Dato Jamal Abdillah, tampil memukau pentas dengan persembahan penuh jiwa, mencetuskan sorakan dan tepukan gemuruh daripada penonton yang tidak berganjak walau dalam cuaca yang tidak menentu.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah turut hadir memeriahkan acara, sebagai tanda sokongan berterusan terhadap pembangunan industri muzik dan seni persembahan di negeri ini.
Festival selama dua hari yang berlangsung pada 17 dan 18 Mei itu menampilkan pelbagai persembahan memukau daripada artis tempatan, diiringi orkestra profesional dari Kuala Lumpur.
Gabungan ini memberikan suntikan segar kepada karya-karya muzik klasik dan kontemporari, menjadikannya persembahan yang mengangkat martabat seni tempatan ke tahap lebih tinggi.
Festival Muzik Kuching terus menjadi platform penting dalam menghimpunkan bakat-bakat seni tempatan, di samping memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab pelancongan dan kebudayaan yang dinamik di rantau ini.
Meskipun cuaca tidak begitu mengizinkan, semangat penonton dan para penggiat seni tetap membara sepanjang acara berlangsung.
Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan isteri, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi bersama isteri dan Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman.
-UKAS