Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Panggilan senyap kaedah baharu scam
  • RENCANA

Panggilan senyap kaedah baharu scam

Utusan Sarawak 10 hours ago
“PANGGILAN senyap” ialah panggilan yang dijawab tetapi tiada respons daripada pemanggil.

KUALA LUMPUR: Jika pernah menerima “panggilan senyap” daripada nombor telefon yang tidak dikenali, hati-hati. Panggilan sedemikian berkemungkinan besar daripada scammer, menurut CyberSecurity Malaysia (CSM).

Menjawab panggilan sedemikian boleh mengakibatkan nombor anda dikenal pasti sebagai nombor “aktif” dan dijadikan sasaran untuk pelbagai jenis scam pada masa akan datang, kata Ketua Pegawai Eksekutif CSM Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab ketika dihubungi Bernama.

 “(Ia bagi) mengumpul metadata suara. Walaupun senyap, kadangkala panggilan dirakam untuk mengenal pasti latar bunyi atau suara pengguna. 

“Jika mangsa menjawab, nombor akan dimasukkan ke dalam senarai sasaran dan seterusnya dijual atau digunakan untuk penipuan lanjut,” jelasnya.

“Panggilan senyap” ialah panggilan yang dijawab tetapi tiada respons daripada pemanggil. Talian akan diputuskan selepas beberapa ketika.

Mangsa yang menjawab panggilan mungkin akan menerima komunikasi susulan dalam bentuk khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menggesa tindakan.

“Ada kes di mana selepas terima panggilan senyap, mangsa menerima SMS mengatakan akaun (bank) akan digantung dan diminta untuk menghubungi nombor telefon yang tertera,” kata Amiruddin.

Selain itu, mangsa yang telah menjawab panggilan senyap mungkin menerima mesej di Whatsapp yang mengandungi pautan palsu atau tawaran kerja.

Selepas beberapa kali menerima panggilan senyap, mangsa juga mungkin akan menerima panggilan sebenar daripada nombor lain.

“Penipu mungkin memanggil semula tetapi dengan menyamar sebagai (wakil) bank, syarikat kurier, Lembaga Hasil Dalam Negeri, atau agensi kerajaan.

“Kadang-kadang nombor pemanggil dipalsukan (spoofing) agar kelihatan seperti nombor tempatan,” jelasnya lagi.

Tidak Sengaja, Atau Daripada Scammer?

Ada kalanya panggilan senyap yang diterima adalah panggilan yang tidak disengajakan.

Amirudin berkata terdapat beberapa tanda yang boleh dikenalpasti untuk membezakan antara keduanya.

Antaranya kekerapan dan corak panggilan.

“Jika nombor tidak dikenali itu membuat panggilan senyap berulang kali atau daripada nombor berbeza, itu petanda mencurigakan.

“Scammer juga menggunakan nombor telefon luar negara atau antarabangsa yang pelik atau terlalu panjang. Selain itu, panggilan yang dibuat tidak mempunyai sebarang interaksi iaitu panggilan tidak putus tetapi juga tiada bunyi latar manusia biasa,” katanya.

Katanya, ini berbeza dengan kes panggilan tidak disengajakan yang biasanya akan kedengaran bunyi latar atau akan diputuskan secepat mungkin setelah pemanggil sedar ada panggilan dibuat.

“Kadangkala terdapat panggilan susulan mencurigakan selepas panggilan senyap. Contohnya, mangsa akan terima panggilan lain yang kononnya daripada pihak bank, polis atau mahkamah,” kata Amirudin lagi.

Jika Terima Panggilan Senyap, Apa Perlu Dibuat?

Langkah paling selamat apabila menerima panggilan senyap adalah menamatkan panggilan dengan kadar segera, katanya.

Ini untuk mengelakkan scammer atau sistem automatik (robocall) mengenal pasti nombor itu sebagai nombor aktif.          Amiruddin sedar ramai mungkin berasa serba salah untuk berbuat demikian kerana gusar panggilan itu sebenarnya daripada orang tersayang dalam situasi kecemasan.

“Namun, jika benar panggilan itu penting, pemanggil pasti akan cuba menghubungi semula, menghantar SMS, WhatsApp, atau meninggalkan pesanan suara,” katanya.

Beliau menasihatkan agar tidak membiarkan talian terbuka atau mendedahkan sebarang maklumat peribadi. 

“Sebagai langkah pencegahan, laporkan nombor mencurigakan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Orang ramai juga boleh menggunakan fungsi terbina dalam telefon pintar untuk menyekat panggilan yang tidak dikenali.

“Gunakan aplikasi seperti Truecaller atau Whoscall bagi membantu mengesan nombor spam. 

“Anda boleh menghubungi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia atau syarikat telekomunikasi untuk menyemak status nombor dan melaporkan kegiatan spam yang berulang,” katanya.

Langkah Perlindungan Lain

Selain menyekat nombor mencurigakan, individu digalakkan mengambil langkah lebih proaktif untuk melindungi diri daripada taktik panggilan scammer.

Ini termasuk mengelak daripada berkongsi nombor telefon peribadi di media sosial dan mendidik keluarga mengenai taktik penipuan terkini serta menggunakan dua nombor berasingan bagi tujuan peribadi dan umum. 

Amiruddin juga menggalakkan orang ramai memantau akaun kewangan serta digital mereka secara berkala dan mengesahkan sebarang panggilan dengan menghubungi terus organisasi rasmi melalui nombor sah.- Bernama

Continue Reading

Previous: Daging Dendeng Ibu Gayah sesuai dijadikan bekalan buat pengembara

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.