TAJUK kolum hari ini mungkin sedikit puitis tetapi itulah hakikat sebenarnya jika peminat melahirkan rasa teruja dengan kejayaan yang ditampilkan oleh seseorang atlet lebih-lebih lagi apabila berjaya ‘menggegarkan’ gelanggang aksi sukan bertaraf dunia.
Justeru, dalam tempoh beberapa hari ini sukan tanah air menerima khabar amat menggembirakan apabila Ratu Terjun Malaysia, Pandelela Rinong berjaya meraih pingat emas pada Kejohanan Dunia Terjun FINA yang berlangsung di Tokyo minggu lalu.
Menerusi acara 10 meter platform individu, Pandalela telah beraksi cemerlang dengan mengutip 355.70 mata sekali gus mengenepikan cabaran peserta tuan rumah, Jepun iaitu Matsuri Arai serta penerjun dari Kanada, Caeli McKay yang masing-masing mencatat 342.00 dan 338.55 mata.
Sebenarnya kejayaan anak gadis yang dilahirkan di Kampung Kupuo Jugan, Bau itu bukanlah asing lagi kerana sudah acapkali dia melakarkan nama di persada kejohanan bertaraf dunia sejak berkecimpung dalam bidang terjun ketika berusia tujuh tahun.
Dilahirkan pada tanggal 2 Mac 1993, Pandelela muncul menjadi wanita pertama Malaysia pembawa bendera pada Majlis Pembukaan Sukan Olimpik Musim Panas 2012 di London dan mencatat sejarah sebagai atlet wanita pertama negara memenangi pingat Olimpik (gangsa) iaitu dalam acara terjunan 10 meter platform serta merupakan atlet kedua memenangi pingat Olimpik 2012 di London selepas Datuk Lee Chong Wei bagi acara badminton.
Anak kepada pasangan Pamg Joheng dan Hartini Lamin itu telah melakukan aksi antarabangsa pertamanya pada 2007 di Kejohanan Remaja Akuatik Asia sekali gus memenangi empat pingat emas manakala pada Sukan Asia Tenggara 2007 di Thailand, dia terus menampilkan kecemerlangan apabila meraih emas dalam platform serentak 10m berpasangan dengan Cheong Jun Hoong.
Ketika usia menjangkau 15 tahun, Pandelela semakin ‘garang’ memburu nama di pentas dunia dengan membawa cabaran Malaysia pada penampilan pertamanya pada Sukan Olimpik Beijing 2008.
Lantas, pada Kejohanan Akuatik Dunia 2009, namanya mula meniti di bibir peminat dan penyokong di negara ini apabila meraih pingat gangsa dalam acara terjunan 10 meter bersama dengan Leong Mun Yee.
Selepas itu, dia terus diberi kepercayaan sebagai pembawa bendera buat Kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik Belia 2010 di Singapura dan menyumbang pingat perak dalam acara terjunan 10 meter dan terjunan 3 meter.
Pada 2010 di New Delhi, India, Pandelela terus ‘rakus’ apabila melakarkan pingat emas pertama Malaysia dalam Sukan Komanwel 2010 dalam acara akuatik terjunan 10 meter.
Seterusnya, pada Kejohanan Akuatik Dunia 2013 di Barcelona, Pandelela dan Mun Yee mengharumkan nama Malaysia dengan merangkul pingat gangsa dalam acara platform serentak 10m dengan 331.14 mata.
Malah pada tahun sama di Sukan Asia Tenggara di Naypyidaw, dia berjaya mengekalkan pingat emasnya dalam acara platform 10m tanpa diberi saingan oleh penerjun lain diperingkat Asia Tenggara.
Pada Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, walaupun mengalami kecederaan lutut namun Pandelela tetap mampu memenangi pingat gangsa untuk acara platform serentak 10m bersama Nur Dhabitah Sabri serta memenangi pingat perak dalam kategori 10m platform dengan 368.55 mata.
Juga pada Sukan Asia 2014 di Incheon, dia sekali lagi berupaya menyumbang pingat gangsa dalam platform 10 meter bersama Leong Mun Yee.
Pada Julai 2015, Pandelela melakar sejarah apabila menjadi rakyat Malaysia pertama yang menamatkan podium dalam satu acara individu di Kejohanan Akuatik Dunia dengan meraih gangsa dalam platform 10 individu di Kazan sekali gus layak ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016 di Brazil.
Kemuncaknya, pada Sukan Olimpik Musim Panas 2016 di Rio de Janeiro, Pandelela mencuri perhatian seluruh rakyat di negara ini sebaik menyunbangkan perak dalam platform serentak 10m dengan Cheong Jun Hoong, menjadikan pasukan wanita Malaysia pertama yang memenangi pingat perak di Olimpik.
Bagi menghargai pencapaiannya pada Sukan Olimpik Musim Panas 2016, Pusat Akuatik Sarawak di Petra Jaya, Sarawak secara rasminya telah dinamakan Pusat Akuatik Pandelela Rinong.
Jika meniti sejarah yang dicipta penerjun ini ternyata ia bukanlah sedikit dan selayaknya nama Pandelela diangkat sebagai salah seorang atlet yang paling menonjol di negeri ini menerusi pencapaian dan rekod yang disandangnya sebelum ini.
Semoga dengan kejayaan yang dicipta Pandelela kali ini akan mampu memberikan motovasi kepada atlet lain dari Sarawak untuk terus berjuang dalam mengibar kegemilangan buat Sarawak dan Malaysia suatu hari nanti.
Akhir kalam sempena menjelangnya sambutan Hari Raya Aidilfitri Khamis ini,
penulis ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitiri…maaf zahir dan batin serta berharap agar ramai lagi atlet Sarawak mampu ‘mengaum’ di pentas dunia kelak.