
SIBU: Pasukan Panda Selex muncul juara Kejohanan Futsal Liga Sukan Komuniti (LSK) Peringkat Bahagian Sibu Tahun 2026 selepas menampilkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan yang berlangsung di Gelanggang Futsal Kampung Nangka, di sini, pada 13 Jun lalu.
Kejohanan anjuran Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu (PBSB) itu berjaya menghimpunkan bakat-bakat futsal tempatan dalam suasana persaingan sengit namun penuh semangat kesukanan.
Pada perlawanan akhir, Panda Selex berjaya mengatasi cabaran Sombrero FC untuk dinobatkan sebagai juara, manakala Sombrero FC muncul naib juara.
Sementara itu, Rizqi FT dan MT FT berkongsi kedudukan tempat ketiga selepas mempamerkan persembahan memberangsangkan sepanjang kejohanan berlangsung.
Majlis penyampaian hadiah dan upacara penutupan rasmi kejohanan telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Lamat Nyalau.
Kehadiran beliau mencerminkan komitmen berterusan jabatan dalam menyokong pembangunan sukan akar umbi serta melahirkan lebih ramai atlet berpotensi di peringkat komuniti.
Dalam pada itu, PBSB Sibu merakamkan penghargaan kepada Sibu District Football Club (SDFC) yang diterajui Presidennya, Halel Mohd Ibrahim, atas kerjasama dan sokongan dalam memastikan kejohanan tersebut berjalan lancar.
Penghargaan turut diberikan kepada jawatankuasa pengelola, pasukan yang mengambil bahagian, para penyokong serta komuniti setempat yang hadir memeriahkan kejohanan sehingga ke perlawanan akhir.
Penganjuran Liga Sukan Komuniti dilihat sebagai platform penting dalam menggalakkan penyertaan masyarakat khususnya golongan belia dalam aktiviti sukan dan rekreasi, sekali gus menyumbang kepada pembentukan komuniti yang sihat, aktif dan bersatu padu.
Oleh Akun Giman