KAJANG: Pemanah Sarawak, Joey Tan Xing Lei, melakar sejarah peribadi apabila melengkapkan hatrik emas acara individu recurve wanita pada Sukan Malaysia (Sukma), selepas sekali lagi muncul juara pada edisi Sukma XXII Selangor 2026.
Kejayaan itu menyaksikan Joey mengekalkan emas yang dimenanginya pada edisi 2022 dan 2024, sekali gus menjadikannya juara acara berkenaan untuk tiga edisi berturut-turut.
Dalam pusingan kelayakan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Teknik, Kajang, Joey muncul sebagai pendahulu selepas mengumpul 643 mata daripada dua pusingan 70 meter, masing-masing dengan catatan 329 dan 314 mata.
Catatan itu menyaksikan Joey mengungguli pusingan kelayakan dengan jumlah 643 mata, mengatasi wakil Selangor, Nur Jie An Hairesya Zainal Habsah, yang turut mengumpul 643 mata tetapi berada di tempat kedua berdasarkan kiraan mata 10 dan X.
Kejayaan Joey pada edisi kali ini meneruskan dominasi yang dibinanya sejak Sukma 2022 apabila beliau meraih tiga emas menerusi acara individu recurve wanita 70 meter, berpasukan recurve wanita dan berpasukan campuran recurve.

Pada Sukma 2024 pula, Joey sekali lagi mempertahankan emas individu recurve wanita selepas mengumpul 645 mata, mengatasi pencabar terdekat dari Selangor dengan kelebihan 16 mata.
Lebih membanggakan, Joey turut mencipta rekod Sukma dalam pusingan kelayakan edisi 2024 apabila mencatat 325 mata bagi jarak 70 meter menerusi 36 anak panah.
Beliau juga mencatat 1,294 mata bersama Liew Yu Jie dalam pusingan kelayakan acara berpasukan campuran recurve, sekali gus menambah satu lagi rekod yang dicipta dalam temasya berkenaan.
Kini, kejayaan di Selangor melengkapkan koleksi tiga emas berturut-turut Joey dalam acara individu recurve wanita, sekali gus membuktikan konsistensinya sebagai antara sandaran utama Sarawak dalam sukan memanah.
Oleh Shahrul Qaizat




