MENYELUSURI Lebuh Raya Pan Borneo dari Kuching ke Sibu dan kembali semula ke Kuching, baru-baru ini jelas menyaksikan sudah banyak perubahan berbanding empat bulan lalu.
Sesekali terasa seperti memecut di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) terutama di laluan antara Betong dan Sri Aman. Itu pun, jika tiada dua atau tiga lori merangkak di depan, menyebabkan deretan kereta menyusuri di belakang bagaikan kura-kura mendaki bukit.
Sebolehnya, dalam keadaan lebuh raya Pan Borneo belum siap sepenuhnya terutama pembinaan dua lorong dua hala, semua kenderaan berat patut dilarang berjalan secara rapat antara dua atau tiga buah sekali hingga menyukarkan kenderaan lain memotong.
Jika feri Igan tidak membenarkan dua lori sawit masuk serentak ke dalam feri (musim raya), apa salah buat perkara sama untuk lori di lebuh raya. Boleh diletakkan syarat supaya jarak antara setiap lori yang bergerak ialah sekurang-kurangnya 100 meter bagi memudahkan kenderaan lain memotong. Begitu juga di lebuh raya pesisir.
Kita tak pasti lagi bila dua lorong dua hala di kebanyakan seksyen Pan Borneo yang sedang dalam pembinaan, akan siap. Bila siap nanti, pasti perjalanan akan lebih lancar iaitu pengguna yang mahu laju di korong kanan dan yang kurang laju di lorong kiri. Kaedah ini juga membantu mengurangkan kemalangan kerana kenderaan berjalan di lorong laluan berasingan.
Begitu pun, tidak adil untuk membandingkan Lebuh Raya Pan Borneo sejauh 786 kilometer, dari Telok Melano ke Miri dengan PLUS sejauh 847.7 kilometer dari Johor Bahru di selatan hingga Bukit Kayu Hitam, Kedah di utara.
Lebuh Raya Utara Selatan itu, antara lebuh raya terbaik dunia yang siap sepenuhnya pada 1995, 15 bulan lebih awal setelah mula dibina pada 1981 secara berperingkat. Ia mula dibuka kepada pengguna pada Februari 1994 dan dirasmikan pada 8 September 1994.
PLUS dibina dengan kos RM5.94 bilion tetapi memerlukan RM27.83 juta sebulan atau RM330 juta setahun untuk penyelenggaraan. Kutipan tol rasanya sudah cukup untuk tujuan ini.
FASA 2
Fasa 1 Pan Borneo dari Telok Melano ke Miri, sudah 86.54 peratus siap setakat 24 Ogos lalu, sejak dimulakan pada 2015 yang bernilai RM16.117 bilion meliputi 11 pakej kerja.
Kerajaan Persekutuaan pula meluluskan Projek Fasa 2 Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) serta Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB), dan pembinaannya akan bermula seawal tahun depan.
Ini jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika melawat Miri 7 Ogos lalu bagi merasmikan pembukaan laluan Seksyen Pujut WPC11 Lebuhraya Pan Borneo Sarawak.
Projek SSLR/LTB bakal menghubungkan Miri, Limbang dan Lawas, seterusnya ke Sabah melalui dua opsyen jaringan jalan raya.
Pengguna jalan raya dari Miri ke Limbang dan Lawas boleh melalui Brunei menggunakan laluan Projek LTB sepanjang 96 kilometer yang bakal ditambah baik kepada dua lorong dua hala.
Bagi mereka yang tidak mahu melalui Brunei, boleh menggunakan jajaran Fasa 2 Projek SSLR sepanjang 326km iaitu kesinambungan Fasa 1 Projek SSLR dari Simpang Gelugus ke Long Lopeng sepanjang 77km.
Namun, perkara ketara antara PLUS dan Pan Borneo ialah kawasan Rehat dan Rawat (R&R).
Di PLUS, R&R terletak di setiap 80 hingga 100 kilometer lebuhraya. Sebanyak 24 R&R di sepanjang rangkaian lebuh raya PLUS. Jumlah kawasan R&R adalah sedikit berbanding dengan Hentian Sebelah yang disediakan setiap 25 hingga 50 km.
Konsep Hentian Sebelah adalah untuk pengguna berhenti rehat seketika dengan disediakan tandas dan tempat solat serta gerai menjual minuman ringan.
KAWASAN REHAT & RAWAT (R&R)
Tetapi kawasan R&R yang lebih besar pula lengkap dengan kemudahan seperti pam minyak, tempat makan, tandas, mesin ATM, surau, restoran berhawa dingin dan motel lebuhraya selain gerai menjual buah-buahan.
Kita berharap pihak berkaitan boleh menyediakan kawasan R&R dan Henti Sebelah di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo. Bukan tidak ada sekarang ini tetapi jumlahnya terlalu sedikit seperti R&R Betong dan kawasan gerai makan serta jualan buah-buahan di Saratok.
R&R ini amat perlu untuk tempat rehat, makan/minum dan solat. Malah boleh disediakan tempat mandi.
Mungkin pihak pengurusan Lebuh Raya Pan Borneo sudah ada perancangan untuk membina R&R di seksyen tertentu lebuh raya. Kita tidak mahulah terlihat pengguna terpaksa berhenti di tepi jalan, untuk membuang air kecil.
PEMANDUAN DI PAN BORNEO TANPA TOL, KINI SEMAKIN LANCAR
Jejambat Betong sudah siap sepenuhnya, melancarkan lagi perjalanan, untuk keluar masuk ke Betong berbanding sebelum ini.
Begitu juga persimpangan bertingkat Sri Aman sepanjang satu kilometer yang sudah siap sepenuhnya dengan kos RM28.8 juta. Ia dirasmikan Menteri Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof Ahad lalu.
Persimpangan bertingkat Sri Aman itu mula dibina pada 1 September 2016 dan dibuka untuk kegunaan orang ramai mulai 30 Ogos lalu. Ia mampu membantu menyuraikan trafik dari arah Serian ke Sri Aman dan Betong untuk bergerak dengan lebih selesa dan selamat.
Malah, ia bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan kawasan sekitarnya seperti Lachau, Temudok, Sri Aman, Engkilili dan Skrang dengan akses jalan raya yang lebih baik.
Pada Mei lalu, Jejambat Batu 10 mula digunakan, sekali gus memudahkan aliran trafik antara Kuching ke Padawan dan Siburan.
Projek ini sudah bermula pada 1 November 2016 dengan kos keseluruhan berjumlah RM323 juta termasuk jejambat Batu 4 ½, Batu 6 dan Batu 7.
JANGAN TANGGUH
Apa yang kita harapkan ialah pembinaan Fasa 2 Pan Borneo menghubungkan Miri, Limbang dan Lawas, seterusnya ke Sabah mulai tahun depan tidak lewat atau ditangguh.
Diharapkan pemilihan kontraktor perlu lebih teliti dan tidak mahu akhirnya menjadi projek sakit setelah tidak siap dalam tempoh ditetapkan.
Penelitian teknikal bagi projek Fasa 2 SSLR dan LTB yang menghubungkan Miri, Limbang serta Lawas itu kini di peringkat akhir, dengan pembinaannya dijangka memakan tempoh selama tiga hingga lima tahun.
Projek ini melibatkan kos berjumlah RM10.62 bilion yang bakal membolehkan komuniti dan penduduk di Miri, Limbang dan
Lawas menikmati jaringan jalan raya yang lebih baik, selamat dan
selesa. Fasa 2 Projek SSLR khususnya akan memberi manfaat
kepada penduduk tempatan di sekitar Mulu, Long Seridan, Nanga Medamit, Long Lopeng, Ba’kelalan dan Merarap yang kini
bergantung kepada jalan balak sebagai jalan perhubungan utama.
Pelaksanaan projek seperti ini membuka lebih banyak peluang kepada penduduk tempatan untuk terlibat sama ada sebagai perunding, pembekal mahupun kontraktor.
* Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak