KUALA LUMPUR: ‘Kalau kita tak buat kerja (menyelenggarakan jalan) dengan terbaik, kalau ada orang mati, kita berdosa.’
Itu bait-bait kata Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi
sebelum menyerahkan surat setuju terima (SST) dan pelantikan JKR Sarawak sebagai wakil kerajaan bagi penyelenggaraan Jalan Persekutuan Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Negeri Sarawak, hari ini.
“Bunyi memang keras, tetapi itulah realiti yang perlu diakui,” katanya.
Pada majlis penyerahan ini, syarikat PBH Asset Management Sdn. Bhd. telah dilantik untuk melaksanakan kerja menyelenggara Lebuh Raya Pan Borneo dengan nilai kontrak RM69 juta untuk tempoh kontrak selama tiga tahun.
Syarikat konsesi dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan kerja-kerja menyelenggara jalan yang terdiri dari kerja rutin (sepanjang tahun), kerja turapan berkala, kerja berkala bukan turapan dan kerja kecemasan mengikut kelulusan dari semasa ke semasa.
JKR Sarawak pula merupakan rakan strategik KKR dan bertindak bagi pihak Kerajaan Persekutuan dalam perkara berkaitan dengan operasi, penyelenggaraan dan penyeliaan serta pengawasan pelaksanaan kerja-kerja bagi memastikan pematuhan terma dan syarat oleh syarikat.
Nanta menegaskan kerja menyelenggara jalan ini melibatkan fasiliti awam dan pastinya ia melibatkan kepentingan rakyat.
“Justeru, suka untuk saya mengingatkan
kepada pihak syarikat PBH Asset Management Sdn. Bhd. untuk memastikan penyampaian perkhidmatan ini berjalan lancar, mengikut spesifikasi dan masa yang ditetapkan sebagaimana syarat-syarat terkandung di dalam perjanjian kontrak.
“Besar juga harapan saya agar syarikat menghargai dan menggunakan kepercayaan yang diberikan ini dengan sebaiknya,” katanya.