KUCHING: Buat julung kalinya, pameran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Playground akan diadakan secara maya selama seminggu, bermula 28 September hingga 4 Oktober depan.
Program yang dikenali ‘STEM Playground Virtual Fair’ itu merupakan anjuran Kerajaan Sarawak melalui Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) bekerjasama dengan Sarawak Multimedia Authority (SMA), Ekonomi Digital Sarawak Corporation (SDEC), Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi (MESTR) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS).
Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar yang juga Pengerusi TEGAS, Datu Len Talif Salleh berkata, pihaknya menyasarkan lebih 150, 000 penyertaan pelajar di Sarawak.
“STEM Playground yang sebelum ini dianjurkan di Kuching, Sibu, Miri dan Kapit sejak 2016 berjaya mencapai sekitar 40,000 pelajar, tetapi kali ini kita menyasarkan lebih banyak kerana ia dilakukan secara maya.
“STEM Playground adalah program berimpak tinggi dan popular dalam kalangan pelajar sekolah, tetapi kerana pandemik Covid-19, TEGAS beralih ke platform digital untuk penghantaran kandungannya dan pertama kali dianjurkan secara maya dan digital selama 24 jam sehari tanpa henti melalui laman web stemplayground.my.
“Pameran kali ini dianggap sebagai yang pertama dan maya terbesar seumpamanya bukan hanya di Sarawak tetapi di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media STEM Playground Virtual Fair bertempat di Pejabat TEGAS, Menara Grand, di sini, semalam.
Menurutnya, pameran tersebut akan dilancarkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 28 September ini.
“Bagi pelajar yang mempunyai capaian internet baik, mereka boleh melawat dalam talian, tetapi untuk pelajar di luar bandar dengan akses internet yang lemah, mereka akan disediakan dengan pemacu pena dan masih dapat menikmati kandungan yang serupa dengan rakan mereka yang sedang dalam talian.
“Pameran STEM kali ini mengandungi empat segmen iaitu majlis pelancaran perasmian, segmen Fun STEM, galeri fakta STEM serta permainan dan cabaran STEM.
“Dari keseluruhan segmen, segmen Fun STEM akan menjadi tumpuan utama kerana di sini semua aktiviti menarik akan dijumpai yang disajikan dalam bentuk video dan 3D.
“Selain itu, pelajar, guru dan ibu bapa akan dapat mengakses pameran STEM ini dengan mudah sama ada dari sekolah atau kediaman mereka,” jelasnya.
Namun, sebelum pelawat memulakan lawatan secara maya mereka, mereka dikehendaki mendaftar di halaman utama laman sesawang.
“Sementara itu, sebelum pelawat menamatkan penjelajahan, mereka diminta untuk melengkapkan dan menghantar borang maklum balas kerana ia penting untuk kita menambah baik untuk masa hadapan.
“Selepas itu, baru pelawat dapat menebus barangan menarik edisi terhad STEM Playground Virtual Fair yang akan diposkan kepada mereka selepas itu,” tambahnya.
Justeru, beliau mengalu-alukan semua ibu bapa, guru, pelajar serta orang ramai untuk turut serta melalui laman sesawang dan dinasihatkan untuk melakukan pendaftaran awal bermula 9 September lalu atau melayari laman Facebook TEGAS untuk maklumat lanjut.
Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi TEGAS Awangku Merali Pengiran Mohamed, Penolong Pengarah Unit Sains/Matematik Sektor Pembelajaran JPNS Dr Raymond Maurice Stephen Bujang, Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Dasar & Pekerjaan MESTR Zulkipli Ismail, Ketua Bahagian Ekonomi Digital, Dasar Ekonomi Digital, Bahagian Perancangan & Pemantauan SMA Tan Chee Kang dan wakil Jabatan Inovasi dan Keusahawanan SDEC Natashya Evaristus.
Oleh Zarina Abdullah