LIMBANG: Pameran Raja Kita yang berlangsung sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong 2025 Peringkat Sarawak menjadi platform penting untuk memberi pendedahan kepada rakyat mengenai sejarah serta peranan institusi beraja di Malaysia.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Peringkat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, berkata pameran ini menyampaikan mesej yang mendalam kepada rakyat berkenaan sejarah penubuhan negara serta kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara.
“Pada hari ini, kita memberi pendedahan kepada rakyat mengenai institusi Raja-Raja di Malaysia. Ramai yang masih belum mengetahui asal-usul serta peranan institusi ini dalam pembentukan negara kita,” katanya dalam sidang media selepas melawat pameran tersebut di Dewan Suarah Limbang, hari ini.
Roland turut merakamkan penghargaan kepada pihak Muzium Negara kerana membawa pelbagai peralatan, artifak, dan bahan sejarah berkaitan institusi diraja untuk dipamerkan kepada masyarakat luar Kuala Lumpur.
“Ini merupakan kali pertama pameran seperti ini dibawa keluar dari Kuala Lumpur.
“Kita amat menghargai usaha Muzium Negara kerana ini memberi peluang kepada rakyat Sarawak, khususnya di Limbang, untuk mendalami sejarah negara dengan lebih dekat,” katanya lagi.
Pameran Raja Kita turut memaparkan maklumat tentang semua Yang di-Pertuan Agong terdahulu hingga kini, sekali gus menonjolkan kesinambungan institusi diraja dalam sistem pemerintahan negara.
“Kita berharap rakyat di sekitar Limbang, termasuk dari Sabah, Brunei dan Miri, akan mengambil peluang mengunjungi pameran ini.
“Ia bukan sahaja dapat menyemai semangat patriotisme, malah memperkukuh kefahaman kita tentang sistem kenegaraan,” ujarnya.
Pameran berlangsung bermula hari ini hingga Ahad ini, dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan seperti pemeriksaan kesihatan, pertandingan set makanan lengkap, pertandingan mewarna, Limbang Talent 2025, Jejak Dirgahayu, zumba serta pelbagai acara menarik lain.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (Industri Makanan) Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang, Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak Datu Hamdan Sharbini, Residen Bahagian Limbang Unus Tambi, Pengarah Muzium Diraja Malaysia Rohana Husin serta para tetamu kehormat lain.