
SARATOK: Hari kedua Regata Kalaka 2025 sempena Pesta Saratok terus meriah dengan penganjuran Pameran Pesta Saratok yang berlangsung di Dewan Masyarakat Sri Krian, di sini, hari ini.
Lawatan peninjauan ke pameran tersebut disertai Pegawai Daerah Saratok Mohammad Dino Amid, Pemanca Lim Guan Ann, ketua-ketua jabatan serta ketua masyarakat setempat.
Lawatan tersebut turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri yang menzahirkan sokongan terhadap usaha memperkasa pameran seperti ini.
Pengurus Pameran, Kato Dorsie berkata, pameran tersebut akan berakhir esok, bertepatan dengan hari terakhir Regata Kalaka 2025.
Mohamad Duri turut mengajak orang ramai agar hadir memeriahkan pameran tersebut.
“Banyak maklumat berguna dan peluang menarik ditawarkan melalui reruai pameran ini. Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan manfaat yang disediakan oleh pelbagai agensi dan jabatan,” katanya.
Beliau menambah, penganjuran pameran ini bukan sahaja mencerminkan kerjasama antara pelbagai pihak, malah turut menjadi medan informasi penting kepada komuniti setempat dalam mendekati perkhidmatan yang ditawarkan oleh agensi kerajaan dan swasta.
Antara jabatan dan agensi yang mengambil bahagian dalam pameran ini termasuk Centex Betong, SALCRA, IADA Kalaka, GIATMARA Saratok, Jabatan Pengairan dan Saliran (DID), ProtectHealth Corporation Sdn Bhd, Pusat Service Sarawak, Perkeso Sri Aman, Pejabat Pos Saratok, JKR, Jabatan Pertanian Betong, Politeknik METrO Betong dan Majlis Daerah Saratok (MDS).
Oleh Adi Safarman