SIBU: Pameran Fotografi yang mempamerkan budaya suku kaum orang Ukit akan diadakan di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) bermula dari 27 Disember hingga 2 Januari depan.
Pameran itu dianjurkan Persatuan Fotografi Sibu (SPA) dengan kerjasama UTS dan Kementerian Industri Kreatif Pelancongan dan Seni Persembahan.
Sebanyak 50 gambar suku kaum terbabit akan dipamerkan.
Presiden SPA, Edwin Ong Wee Kee berkata, Ukit merupakan lapan etnik yang direkodkan dalam projeknya yang dinamakan Geografi Manusia Sarawak.
“Saya menamakan mereka ‘Ukit Blue’ kerana pakaian tradisional mereka yang unik. Kostum itu berwarna biru. Saya dan ahli kumpulan saya telah bergambar di Kapit selama lapan tahun, daripada etnik terbesar hingga ke minoriti.
“Ia menjadi lebih sukar untuk menghadapi kumpulan minoriti di kawasan luar bandar.
“Slogan ‘We Shoot Before They’re Gone’ (Kita ambil gambar sebelum mereka tiada) digunakan sebagai peringatan kepada kita semua bahawa, kumpulan itu hampir tidak kelihatan dan ditemui pada masa kini dan sejarah budaya mereka tidak ternilai,” katanya pada sidang media, petang ini.
Beliau berterima kasih kepada kementerian kerana dapat mengabadikan keindahan suku kaum Ukit dan mendokumentasikannya untuk generasi akan datang.
“Perancangan kami seterusnya ialah membuat dokumentari mengenai etnik Melanau di Mukah dan etnik Berawan dan Seban di Miri melalui gambar. Ini adalah etnik minoriti yang masih boleh ditemui di Sarawak.
“Saya ingin mendokumentasikan sebanyak mungkin budaya dan tradisi mereka dalam gambar demi generasi akan datang,” katanya.
Ketua Bahagian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan kementerian, Dr Elena Chai pula berkata mendokumentasikan budaya dan tradisi suku kaum Ukit dengan mengambil gambar mereka adalah salah satu cara yang sangat baik untuk memperkenalkan mereka kepada orang ramai di dalam dan luar Sarawak.
“Memandangkan keindahan Sarawak masih belum ditemui dan diperkenalkan kepada masyarakat di dalam dan luar Sarawak, semua budaya dan tradisi 34 etnik Sarawak perlu dirakam dalam gambar atau video supaya ia boleh menjadi sumber rujukan demi kepentingan generasi muda,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa dokumentasi, dalam gambar, adalah penting untuk melindungi identiti setiap komuniti di Sarawak untuk generasi akan datang.
“Ini kerana tradisi dan budaya hanya hidup di tangan pengamal. Saya berharap pelajar UTS akan mengambil peluang ini untuk mempelajari dan mengetahui lebih lanjut mengenai kumpulan etnik di Sarawak, mempelajari lebih banyak kemahiran dan teknik dalam mengambil gambar daripada jurugambar profesional,” katanya.
Turut hadir ialah Naib Canselor UTS, Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid.
Oleh AKUN GIMAN
Keterangan gambar
SIDANG MEDIA….Edwin (duduk dua kiri), Dr Elena (duduk tiga kiri) dan Dr Khairuddin (duduk kanan sekali) merakam kenangan selepas sidang media di Sibu petang ini.