
KUCHING: Kerajaan Sarawak menghargai sumbangan berterusan Pertubuhan Akitek Malaysia Sarawak Chapter (PAMSC) sebagai rakan strategik dalam pembangunan negeri, khususnya dalam memperkukuh persekitaran bina yang mampan, selamat dan beridentiti Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata PAMSC telah menjadi tunjang profesionalisme seni bina di Sarawak selama lima dekad dengan menjunjung standard amalan tertinggi serta menyumbang secara signifikan kepada agenda pembangunan negeri.
Menurutnya, PAMSC yang bernaung di bawah Pertubuhan Arkitek Malaysia telah memainkan peranan penting dalam memajukan kecemerlangan seni bina, mempromosikan pembangunan lestari, memperkukuh pendidikan profesional serta penglibatan komuniti.

“Melalui program tahunan, penganjuran acara bersasar dan inisiatif Pembangunan Profesional Berterusan (CPD), PAMSC membudayakan perkongsian ilmu dan pembinaan kapasiti dalam kalangan pengamal industri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-50 PAMSC yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Sim Kui Hian, di Pullman Hotel, malam ini.
Beliau turut menekankan peranan arkitek sebagai pemudah cara industri pembinaan yang mampu bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dalam merealisasikan visi Sarawak meliputi kelestarian, tenaga hijau, neutral karbon, pendigitalan serta kecerdasan buatan.
Dalam aspek pendigitalan, PAMSC katanya merupakan rakan aktif kerajaan negeri dalam menyokong pelaksanaan Sistem Pengambilan Anggota Perkhidmatan Awam Secara Dalam Talian (eSPA) dan Sistem Lantikan Secara Elektronik (eLA), selain memberikan pandangan profesional dan bebas dalam pelbagai sesi libat urus bersama agensi kerajaan dan badan berkanun.
“Penglibatan PAMSC membolehkan kerajaan negeri memahami denyut nadi industri pembinaan bagi merangka dasar yang realistik dan berkesan selaras dengan visi pembangunan Sarawak menjelang 2030,” jelasnya.

Menyentuh pembangunan modal insan, beliau berkata pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) bermula tahun ini merupakan pelaburan strategik kerajaan negeri bagi melahirkan lebih ramai profesional tempatan termasuk arkitek, sejajar dengan aspirasi menjadikan Sarawak sebuah ekonomi maju di peringkat ASEAN.
Selain itu, beliau memaklumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah meluluskan Rang Undang-Undang Bangunan (Pindaan) 2025 pada 25 November lalu bagi memodenkan Ordinan Bangunan 1994, termasuk penubuhan Lembaga Bangunan Sarawak (SBB), pengukuhan aspek keselamatan, kelestarian dan pematuhan profesional.
“Saya merakamkan penghargaan kepada ahli PAMSC yang menyumbang pandangan profesional dalam menggubal undang-undang ini agar bersifat progresif dan praktikal untuk industri pembinaan di Sarawak,” katanya.
Beliau turut menzahirkan keyakinan terhadap peranan PAMSC dalam fasa pelaksanaan undang-undang berkenaan demi memastikan persekitaran bina yang berkualiti untuk rakyat.
Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Nor Hisham Mohammad, serta kepimpinan PAMSC.
Oleh Shikin Mahmud