
PUTRAJAYA: Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony hari ini kekal dipenjara tiga tahun serta didenda RM50,000 kerana memalsukan dokumen berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), 11 tahun lepas.
Ini selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin, menolak rayuan akhir Peter, 54, terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Mei 2022.
Mahkamah memerintahkan Ahli Dewan Undangan Negeri Melalap itu, menjalani hukuman penjara bermula hari ini.
Pada 19 April 2023, Peter memfailkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 atau penjara 15 bulan, yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Mei 2022.
Sebelum ini, Peter gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 April 2023 selepas mahkamah itu turut mengekalkan sabitan dan hukuman berkenaan.
Peter telah membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Peter sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd didakwa memalsukan surat Pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan bagi tujuan menipu.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014 mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.
Hakim Mohamed Zaini ketika membacakan penghakiman berkata mahkamah rayuan tidak seharusnya mengubah penemuan fakta oleh mahkamah rendah, kecuali jika penemuan tersebut terbukti salah.
“Ini amat penting terutamanya apabila kesimpulan yang dibuat bergantung secara langsung kepada kredibiliti saksi serta tanggapan yang dibentuk oleh mahkamah, yang secara langsung memerhati dan menilai kejujuran serta ketepatan mereka.
(Berita penuh menyusul…)