Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Palestin: Simbol ketabahan, simbol perjuangan
  • RENCANA

Palestin: Simbol ketabahan, simbol perjuangan

Utusan Sarawak 2 weeks ago
MASJID al-Aqsa

PALESTIN merupakan bumi yang sangat istimewa dan penuh keberkatan. Di sinilah terletak Masjid al-Aqsa, kiblat pertama umat Islam masjid ketiga paling suci selepas Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah.

Allah SWT menyebut tentang keberkatan bumi Palestin dalam firman-Nya yang bermaksud: “Maha Suci (Allah) yang telah memperjalankan hamba-Nya (Nabi Muhammad SAW) pada malam hari dari Masijdil al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya, agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah al-Isra ayat 1)

Jelas daripada ayat ini bahawa, Palestine bukan sahaja dilihat dari aspek mempertahankan tanah air mereka, tetapi juga dari segi keimanan yang tidak pernah goyah meskipun ditekan, dizalimi dan diuji dengan peperangan berpanjangan.

Nabi SAW sendiri pernah menyebut tentang keistimewaan umat yang berjuang di bumi Palestin.

Baginda bersabda: “Akan senantiasa ada segolongan dari umatku yang menegakkan kebenaran, tidak akan membahayakan mereka, orang-orang yang mengkhianati mereka sehingga datang keputusan Allah SWT sedang mereka tetap dalam keadaan demikian.” (Hadis riwayat Muslim)

Ulama menafsirkan hadis ini, bahwa antara golongan tersebut ialah umat Islam yang berada di Baitul Maqdis (Palestin) dan sekitarnya.

Ini jelas menunjukkan bahawa perjuangan Palestin bukan perjuangan biasa, tetapi ia adalah jihad mempertahankan agama dan maruah umat Islam. 

PALESTIN INSPIRASI UMAT ISLAM 

Palestin menjadi saksi ketabahan umat yang terus berdiri walaupun kehilangan keluarga, rumah dan harta benda.

Mereka tetap berpegang teguh dengan janji Allah SWT bahawa setiap ujian adalah jalan menuju kemenangan. Firman Allah SWT di dalam surah Ali Imrah ayat 139: “Janganlah kamu merasa lemah dan janganlah kamu besedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang-orang yang beriman.” 

Bagi umat Islam seluruh dunia, Palestin adalah simbol perjuangan yang membakar semangat persaudaraan.

Ketabahan mereka menjadi inspirasi bahawa Islam menuntut keberanian, kesabaran dan keyakinan kepada janji Allah SWT.

Rasulullah SAW mengingatkan umat Islam tentang pentingnya membela saudara seagama: “Perumpamaan orang-orang mukmin dalam cinta-mencintai, belas kasih, dan saling menyayangi sesama mereka, adalah seperti satu tubuh; apabila satu anggota sakit maka seluruh tubuh turut merasakan sakit dan demam.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menegaskan bahawa penderitaan Palestin adalah penderitaan kita semua. Justeru, umat Islam tidak boleh berdiam diri.

Perjuangan membela Palestin boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk doa, sokongan moral, bantuan kemanusiaan, penulisan, kesedaran masyarakat, bahkan juga perjuangan politik dan diplomasi.

Selain itu, ketabahan Palestin juga mengingatkan kita bahawa kemenangan tidak datang dengan mudah. Ia memerlukan pengorbanan, kesabaran, dan istiqamah.

Allah SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu, dan tetaplah bersiap-siaga (di perbatasan negerimu), serta bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh kemenangan.” (Surah Ali ‘Imran ayat 200)

Palestin bukan sahaja sebuah negara yang dijajah, tetapi ia adalah simbol ketabahan dan simbol perjuangan umat Islam.

Masjid al-Aqsa yang menjadi jantung Palestin adalah amanah besar yang mengikat hati seluruh umat.

Rakyat Palestin telah menunjukkan kepada dunia bagaimana kekuatan iman mampu menjadikan mereka tabah menghadapi segala ujian.

Sebagai umat Islam, kita wajib menyokong perjuangan Palestin dengan segala kemampuan yang ada.

Jika tidak mampu berjuang dengan senjata, kita boleh berjuang dengan doa, sumbangan, kesedaran, dan penyebaran maklumat yang benar.

Perjuangan ini adalah milik seluruh umat, kerana mempertahankan Palestin bermakna mempertahankan maruah Islam itu sendiri.

Kewarakan Zubair Bin Awwam

SEJAK usia remajanya, Zubair bin Awwam sudah mendapat tarbiah dari Rasulullah SAW. Beliau merupakan antara orang yang terawal memeluk Islam.

Ketika majoriti penduduk Mekah masih lagi menyembah berhala, Zubair bin Awwam telah mengenali penciptanya.

Oleh itu, beliau tekun dalam melaksanakan ibadah-ibadah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepadanya ketika zaman permulaan Islam.

Hasil dari didikan Rasulullah SAW sifat warak telah terbentuk dalam diri Zubair bin Awwam.

Diriwayatkan bahawa Zubair bin Awwam tidak pernah meninggalkan solat sunat walaupun ketika bermusafir.

Malah dalam beberapa keadaan beliau telah mengerjakan solat di atas kenderaannya semasa beliau berada di dalam perjalanan.

Ibnu Asakir meriwayatkan dari Abdullah bin Zubair, beliau berkata, “Aku bersama Zubair bin Awwam dari Syam ketika pulang dari perang Yarmuk. Aku melihat beliau bersolat di atas kenderaannya dan beliau bersolat menghadap ke arah di mana sahaja hala tuju kenderaan tersebut”. Apa yang dilakukan oleh Zubair bin Awwam ini adalah mengikut sunnah Rasulullah SAW.

Dari Ibnu Umar, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW pernah mengerjakan solat sunat (di atas tunggangannya) menghadap ke arah mana haiwan tunggangannya menghadap. (Riwayat Muslim)

Selain itu, Zubair bin Awwam merupakan seorang yang suka melakukan amalan yang soleh. Beliau tidak suka kepada jawatan-jawatan di dunia. Jika diberi beliau akan cuba mengelakkannya.

Ketika di zaman pemerintahan Saidina Umar, beliau pernah menolak untuk menjadi gabenor Mesir.

Beliau juga menarik diri sebagai calon khalifah menggantikan Saidina Umar. Imam An Nasa’i dan Ibnu Abi Syaibah meriwayatkan dari Zubair bin Awwam, beliau berkata, “Barangsiapa di antara kalian yang mampu menabung amal solehnya untuk akhirat, hendaklah dia melakukannya”. 

Zubair bin Awwam juga sangat dikenali sebagai seorang yang jujur dan amanah. Sehinggakan ramai orang mengamanahkan harta mereka untuk dijaga dan diniagakan oleh Zubair bin Awwam.

Bahkan Saidina Umar sendiri menyarankan kepada orang ramai agar mereka mengamanahkan harta mereka kepada Zubair sekiranya mereka memerlukan khidmat pemegang amanah.

Ramai dari kalangan sahabat yang melantik Zubair bin Awwam sebagai pemegang amanah harta-harta mereka.

Hanzalah Azman

Continue Reading

Previous: Lukisan seram jadi luahan jiwa, terapi minda Miman
Next: Ketukan besi Yong masih bergema pada usia 75

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.