
NEW DELHI: mengecam peningkatan keganasan Israel terhadap rakyat Palestin dan tindakan provokatif kumpulan ekstremis Yahudi menyerbu Masjid Al Aqsa, menyifatkan perbuatan itu sebagai pencabulan serius terhadap kesucian agama dan undang-undang antarabangsa.
Kementerian Luar Pakistan dalam satu kenyataan pada Rabu menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan Israel yang setiap hari membunuh orang awam Palestin tanpa sebarang hukuman.
“Pakistan mengutuk keras serbuan provokatif ke atas Masjid Al Aqsa dan peningkatan kekejaman Israel. Tindakan keji ini, termasuk pelanggaran di beberapa pintu masuk Masjid, adalah serangan langsung terhadap kesucian, sejarah dan status undang-undang tapak suci umat Islam ini.
“Tindakan tidak berperikemanusiaan ini bukan sahaja menyinggung perasaan umat Islam di seluruh dunia, malah berisiko mencetuskan ketegangan di kawasan yang sudah pun bergolak.
“Ini adalah pelanggaran nyata undang-undang antarabangsa yang mesti dihentikan serta-merta,” menurut kenyataan itu.
Dalam serangan terbaharu, pendatang haram Yahudi dilaporkan melaungkan ‘Death to Arabs’ dan ‘May your village burn’ ketika menyerbu kawasan Masjid Al Aqsa dan sebuah kemudahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk pelarian Palestin di Baitulmuqaddis Timur.
Kementerian Luar Pakistan berkata tindakan Israel yang terus menyasarkan orang awam Palestin yang tidak bersalah di Gaza amat membimbangkan.
Pembunuhan hampir 100 orang awam dalam tempoh 24 jam lalu, termasuk mereka yang sedang menunggu di lokasi agihan makanan, mencerminkan kezaliman tentera Israel yang terus melakukan jenayah terhadap kemanusiaan tanpa sebarang halangan.
Pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan Israel ke atas rakyat Palestin sekali lagi membuktikan kegagalan masyarakat antarabangsa untuk memaksa rejim Benjamin Netanyahu mematuhi undang-undang antarabangsa.
Dalam pada itu, rejim Israel terus mendapat sokongan daripada Amerika Syarikat bagi meneruskan serangan genosid terhadap Gaza, walaupun kebanyakan negara di dunia semakin gusar dengan tahap kematian serta kemusnahan di wilayah Palestin yang diduduki sejak Oktober 2023.
Pada Rabu, Amerika Syarikat menggunakan kuasa veto untuk menghalang resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menggesa gencatan senjata segera dan akses kemanusiaan tanpa sekatan ke Gaza.
Resolusi itu disokong oleh Algeria, Denmark, Greece, Guyana, Pakistan, Panama, Korea Selatan, Sierra Leone, Slovenia dan Somalia.
Selain 10 negara itu, empat anggota tetap Majlis — China, Perancis, Rusia dan United Kingdom — turut mengundi menyokong resolusi itu.
Veto berkenaan merupakan yang pertama oleh Washington sejak Presiden Donald Trump mengambil alih jawatan pada Januari lalu.– Bernama