KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mengumumkan Pakej Bantuan Ekonomi negeri pada Isnin (23 Mac) ini dalam usaha mengurangkan beban ekonomi dan membantu rakyat yang terjejas akibat penularan Covid-19.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mendedahkan perkara tersebut pada sidang media selepas mesyuarat Masjlis Keselamatan Negeri di Wisma Bapa Malaysia, di sini, semalam.
Bagaimanapun, beliau tidak memberikan perincian maklumat mengenai pakej itu dan hanya berkata akan diumumkan pada satu sidang media Isnin nanti.
“Kita namakannya sebagai Pakej Bantuan Ekonomi dan akan diumumkan pada Isnin,” katanya ringkas.
Ketika ditanya pemberita mengenai bantuan bagi peniaga kecil yang terjejas selama tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan wabak Covid-19, Abang Johari berkata ia turut dimasukkan di dalam Pakej Bantuan Ekonomi.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai terutamanya rakyat negeri ini menunggu pengumuman yang akan dibuat pada Isnin ini.
Mengulas mengenai pertanyaan pemberita tentang bekalan topeng muka dan cecair pencuci tangan, Abang Johari memberi jaminan ia sedang diusahakan oleh Kerajaan Negeri.
“Kita sedang berusaha mendapatkan bekalan topeng muka diimport ke Sarawak.
“Pada masa ini ada topeng muka dan hidung dihantar oleh Kerajaan China ke Malaysia dan sekarang masih di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Apa yang Kerajaan Negeri sedang lakukan pada masa ini adalah mencari idea baharu bagi mendapatkan bekalan tersebut untuk terus ke Kuching dari negara China,” jelasnya.
Untuk rekod, Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan Pakej Ransangan Ekonomi bagi berdepan dengan situasi Covid-19 pada 27 Februari lalu dengan tambahan diumumkan pada 16 Mac. Sementara beberapa negeri lain seperti Selangor dan Sabah akan mengumumkan pakej seumpama.
Menjawab soalan lain mengenai persoalan bahagian kewangan bagi syarikat bukan perkhidmatan penting adakah pekerja dapat turun kerja menguruskan pembayaran gaji memandangkan sudah hujung bulan, Abang Johari berkata ia dapat dilakukan dengan syarat meminimumkan pekerja yang turun kerja.
“Ya, mereka perlu membayar gaji pekerja, dan itu terpulang kepada pekerja dan majikan dan mereka boleh turun kerja mengikut jadual.
“Mereka tidak boleh turun kerja seperti hari biasa dan menguruskan sendiri jadual kerja, apa yang penting adalah mengekalkan jarak satu meter antara satu sama lain,” tegasnya.
Abang Johari dalam masa yang sama menasihtkan orang ramai untuk tidak menyebarkan berita palsu dan tidak sahih kerana pelaku kesalahan ini boleh dikenakan tindakan undang-undang yang sedia ada.