KUCHING: Pakar pemakanan perlu dilibatkan bagi membantu memastikan makanan tempatan Sarawak kekal enak, namun pada masa sama lebih seimbang dan menyokong kesihatan masyarakat.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, aspek pemakanan perlu diberi perhatian supaya masyarakat dapat menikmati makanan tempatan tanpa mengabaikan keperluan menjaga kesihatan.
“Kita perlukan pakar pemakanan supaya apa yang kita hidangkan adalah seimbang dari sudut diet, tanpa menjejaskan rasanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Pelancaran Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO (UCCN) – Perhimpunan Tahunan Bandar Gastronomi 2026 di sini.
Abang Johari berkata, keperluan itu antara perkara yang perlu diberi perhatian susulan hasil saringan kesihatan menerusi Program Sarawakku Sayang di Kapit dan Sibu.
“Di Kapit, doktor yang menjalankan saringan kesihatan mendapati ramai yang mempunyai masalah kolesterol, jadi saya minta doktor mengkaji puncanya.
“Selain itu, hasil saringan di Sibu pula mendapati ramai peserta mengalami masalah obesiti yang mungkin mempunyai kaitan dengan corak pemakanan masyarakat setempat.
“Mungkin salah satu sebabnya ialah mi kampua. Banyak mi, mungkin kandungan tepungnya terlalu tinggi,” jelasnya.

Sehubungan itu, Abang Johari berkata, pengambilan makanan perlu diseimbangkan termasuk dari segi jenis makanan serta kuantiti yang diambil.
“Penyediaan makanan dalam kuantiti berlebihan bukan sahaja boleh menyebabkan pengambilan makanan secara berlebihan, malah turut menyumbang kepada pembaziran.
“Keseimbangan pemakanan juga penting bagi memastikan seseorang tidak mengalami kekurangan zat makanan akibat terlalu kurus atau menghadapi masalah kesihatan berkaitan berat badan berlebihan,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata, usaha menjaga pemakanan penting bagi membolehkan masyarakat menikmati kehidupan lebih panjang dalam keadaan sihat.
“Kalau panjang umur, mesti sihat. Kalau panjang umur tetapi tidak sihat, kita tidak dapat menikmati kehidupan dengan baik sepenuhnya.
“Saya 76 tahun, masih dapat menikmati sedikit kehidupan, Alhamdulillah kerana kesihatan saya jaga. Kalau saya boleh berbuat demikian, saya mahu orang lain juga begitu. Yang penting, kita jaga kesihatan,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah





