
KOTA KINABALU: Seorang pakar patologi forensik memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini bahawa Zara Qairina Mahathir berkemungkinan besar jatuh atas kerelaan sendiri, sekali gus menolak kemungkinan pelajar tingkatan satu itu terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak, berdasarkan dapatan forensik.
Datuk Seri Dr Bhupinder Singh Jeswant Singh berkata tidak terdapat sebarang bukti dari sudut perubatan mahupun forensik menunjukkan berlakunya pergelutan atau penggunaan sebarang daya luar dalam kejadian itu.
“Saya menolak kemungkinan berlakunya jatuh secara tidak sengaja atau jatuh akibat ditolak… besar kemungkinan, seperti yang telah saya nyatakan, individu itu jatuh atas kerelaan sendiri,” katanya kepada Timbalan Pendakwa Raya yang juga pegawai pengendali inkues, Mohd Fairuz Johari di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Pakar berusia 74 tahun itu, yang juga Profesor Madya di Jabatan Perubatan Forensik dan Perundangan di Kampus RCSI & UCD Malaysia (RUMC) Pulau Pinang menjelaskan kesimpulan beliau dibuat berdasarkan corak kecederaan, video rekonstruksi di lokasi kejadian serta bukti perubatan.
Ketika ditanya Mohd Fairuz mengenai pendapat akhir berkaitan cara jatuh terbabit dengan mengambil kira kecederaan, dapatan di lokasi kejadian serta bukti perubatan, Dr Bhupinder berkata tiada sebarang tanda atau bukti bahawa mangsa dipegang atau dicampak, sambil menambah senario kemungkinan paling besar ialah si mati telah memanjat atau melintasi palang penghadang dengan sendiri.
Dr Bhupinder, yang merupakan saksi ke-68 dipanggil pasukan peguam diketuai Datuk Ram Singh menjelaskan patah pada tulang kalkaneus iaitu tulang kuat di tumit, kebiasaannya dikaitkan dengan jatuhan menegak berimpak tinggi, sekali gus menyokong kesimpulan bahawa mangsa jatuh (mendarat) dengan bahagian kakinya terlebih dahulu.
Beliau berkata daya hentakan telah dipindahkan ke atas melalui tubuh yang mengakibatkan pelbagai kecederaan patah tulang sebelum mangsa rebah ke belakang.
“Berdasarkan pengalaman saya tentang jatuh dari tempat tinggi dan dapatan dalam kes ini, kesimpulan saya dari sudut forensik ialah dia (mangsa) jatuh dengan mendarat pada kaki serta tangan, sebelum kemudian terjatuh ke belakang dan kepalanya terhentak pada bahagian tepi longkang. Saya tidak ragu bahawa jika tidak berlaku kecederaan pada kepala, kita tidak akan berada di sini hari ini,” katanya.
Dr Bhupinder yang berkhidmat di Hospital Pulau Pinang dari 1992 hingga 2018 selaku Pakar Perunding Patologi Forensik berkata beliau telah mengendalikan banyak kes jatuh dari tempat tinggi sepanjang hampir tiga dekad ini.
Beliau turut bersetuju dengan dapatan Pakar Patologi Forensik Hospital Queen Elizabeth (QEH) Dr Jessie Hiu, yang sebelum ini memberi keterangan bahawa corak kecederaan terbabit konsisten dengan jatuh dari tempat tinggi.
Disoal oleh pasukan peguam mewakili ibu Zara Qairina yang diketuai Datuk Rizwandean M. Borhan, Dr Bhupinder mengakui kewujudan bidang khusus dikenali sebagai jatuhan biomekanik iaitu bidang yang mengkaji daya, pergerakan dan tindak balas tubuh dalam sesuatu jatuhan berdasarkan prinsip fizik serta kejuruteraan.
Dr Bhupinder bersetuju walaupun bidang berkenaan wujud, beliau bukan pakar dalam jatuhan biomekanik, sambil menambah kesimpulan beliau adalah berdasarkan penemuan patologi forensik termasuk corak kecederaan serta bukti perubatan.
Menjawab pertanyaan peguam bapa Zara Qairina iaitu Nurul Rafiqah Afdul Mutolip berkaitan peranan pakaian dalam siasatan, pakar berkenaan berkata pakaian secara umumnya adalah elemen penting dalam analisis forensik kerana boleh memberi petunjuk mengenai kesan hentakan, koyakan atau tanda-tanda kemungkinan berlakunya pergelutan.
Beliau berkata pakaian juga boleh membantu mengaitkan kecederaan dengan permukaan hentakan temasuk kesan calar atau lebam selain menentukan sama ada terdapat daya luar atau pergelutan sebelum kejadian berlaku.
Bagaimanapun, Dr Bhupinder menyatakan ketiadaan pakaian dalam kes berkenaan tidak menjejaskan keseluruhan dapatannya kerana kecederaan disokong oleh pengimejan perubatan, hasil bedah siasat serta bukti lain yang tersedia, walaupun beliau mengakui pakaian boleh membantu sebagai maklumat tambahan.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya, sekitar 4.00 pagi.
Pada 13 Ogos 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis, manakala pada 8 Ogos 2025, AGC mengeluarkan perintah menggali semula kubur Allahyarham bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.
Prosiding inkues bersambung esok.- Bernama