Oleh: Abg Zainoren Jess
FIKIRANNYA menerawang jauh, sejauh himpunan kehijauan hutan rimba di keliling. Dia cuba mengimbau kembali masa lalu yang penuh dengan keperitan, kepedihan, kemarahan dan kesukaran dan yang penuh dengan ranjau dalam menentukan hala tuju dan arah perjuangannya yang panjang dalam usaha untuk mendapatkan kemerdekaan untuk bumi bertuah ini, bumi Kenyalang yang dikasihi.
Sambil menyedut rokoknya dalam-dalam, matanya terkebil-kebil memerhati kepulan asap yang menari di udara, kadang-kadang merimaskan juga bagi kami adik beradik yang sedang khusyuk mendengar cerita perjuangannya, ketika dia menghembuskan asap rokoknya keluar, sambil kami mendengar kisah perjuangannya yang sering menjadi topik utama penceritaannya sewaktu lepak selepas kami makan siang atau malam. Tidak pernah lepas dari bibirnya akan kisah dan trajidi pembunuhan Gabenor Duncan Steward di Sibu pada tahun 1947.
Dia membayangkan betapa hebatnya perjuangan anak-anak muda ketika itu dalam menentang penjajahan British, tidak seperti anak muda hari ini yang banyak membuang waktu dan leka dengan hiburan di sana-sini tiada langsung semangat juang untuk kehidupan sendiri.
Pak Su ku seorang, anak seni yang pernah mengarah beberapa siri bangsawan, salah satunya, Bangsawan Dandan Setia yang dipentas selama tujuh malam berturut-turut. Pak Su ku cuma seorang tukang kayu, tapi banyak juga memperolehi kerja-kerja membaiki dan merenovasi rumah orang kampung yang keseluruhannya rumah kayu ketika itu, dan sekali sekala dibantu oleh ayahku sekiranya dia memerlukan tenaga kerja tambahan.
Zaman lewat 50an dan 60an yang banyak meninggalkan nostalgia buat aku dan saudara maraku. Kami dengan pak su dan anak beranaknya tinggal di sebuah rumah agak luas dapat menampung tiga keluarga waktu itu, sebelum rumah itu dipecah dua, yang menjadi dua buah rumah di atas satu tapak tanah. Turut tinggal bersama kami ialah emak saudara ku bersama empat orang anaknya., kakak sulong kepada ibuku serta adiknya. Emak saudaraku ini telah sekian lama kematian suami dan tinggal bersama kami. Terasa olehku untuk kembali lagi ke zaman itu. Kami serumah hidup damai, walaupun tidak dinafikan sekali sekali ada sedikit perselisihan faham di antara kami. Itu sudah lumrah manusia, kerana masing-masing ada pandangan tersendiri. Keharmonian dalam rumah kami yang dihuni oleh lebih 20 ahli keluarga itu amat meninggalkan kesan yang menarik dalam kehidupanku secara peribadi.
Pada waktu itu, kami hanya hidup bergantung kepada ibuku, satu-satunya kakitangan awam yang bekerja sebagai jururawat, sedangkan ayahku cuma peniaga kecil, membuka kedai runcit di Kampung sebelah iaitu Kampung Datu, kampung nenekku. Kami adik beradik seramai lima orang terpaksa berkongsi dalam sebuah bilik bersama kedua-dua ibu bapa kami, kerana ruang bilik yang terhad. Kadang-kadang kami suka-suka tidur di luar bilik, terutama di ruang tamu. Sementara adik lelakiku yang nombor empat tinggal bersama emak saudaraku dan kakak kepada bapaku kerana dia dipelihara sejak kecil, kerana ibu sukar untuk menjaganya kerana bekerja. Waktu itu kami tidak memerlukan kipas angin, kerana kedinginan malam yang sentiasa menusuk tulang temulang kami. Kami yang masih anak-anak kecil sering berkelambu jika hendak tidur kerana sering diganggu nyamuk.
Sementara ibu saudaraku, adik bongsu ibuku, isteri Pak Su, hanya seorang suri rumah namun beliau merupakan seorang tukang jahit mahir. Beliaulah satu-satunya tukang jahit dalam keluarga kami yang akan sering sibuk menjelang puasa kerena mesin jahitnya akan mula berbunyi sepanjang malam di bulan puasa itu untuk menjahit baju raya kami. Ibu saudaraku juga sering mendapat upah apabila ada tempahan dari orang kampung untuk menjahit baju, terutama menjelang sambutan perayaan Hari Raya. Waktu itu belum terdapat kedai yang menjual baju yang telah siap untuk berhari raya seperti hari ini.
Pak Su ku tidak pernah jemu untuk bercerita tentang perjuangannya bersama rakan-rakan dalam Pergerakan Pemuda Melayu Sibu dan juga kumpulan Rukun 13.
PPM yang telah diharamkan pada tahun 1950 oleh kerajaan British itu merupakan sebuah pertubuhan yang memperjuangkan penyatuan Melayu Sibu dan juga hasrat untuk membawa Sarawak sebagai sebuah negara berdaulat dan merdeka. Pertubuhan itu berpusat di sebuah rumah kepunyaan Datukku yang terletak di simpang empat Kampung Datu itu, di tingkat bawahnya terletak kedai runcit kecil ayahku. Aku sering bermalam di kedai itu bersama adik beradik, ayah dan ibu sekiranya kami tidak pulang ke rumah. Di sini juga akan memudahkan ibuku pulang dari klinik dan terus singgah di kedai untuk membantu ayah di kedainya. Aku waktu itu tidak banyak membantu, maklumlah lagi budak-budak tidak mengerti apa-apa, cuma yang ku buat makan minum dan tidur sepanjang malam.
Apa yang tidak pernah luput dari ingatanku ialah ketika kami berada di rumah bersama Pak Su, kerana beliau amat perihatin dengan keadaan kami sekeluarga. Beliau sering menasihatkan supaya kami menjaga diri ketika orang tua tiada di rumah, kerana kedua-dua orang tua kami sibuk dengan kerja masing-masing. Ketika ketiadaan orang tua Pak Su lah yang menjaga dan mengawasi kami serta mengawasi anak-anaknya sekali dan juga anak Mak Wa ku seramai empat orang yang hidup bersama kami. Pak Su juga merupakan tukang gunting mahir. Kerana itu setiap menjelang perayaan atau hari persekolahan hendak bermula maka Pak Su lah menjadi mangsa kami adik beradik sebagai tukang gunting rambut kami.
Apa yang paling aku ingat ialah ketika usiaku dalam linkungan 16 atau 17 tahun, Pak Su ku sering bercerita akan kisah perjuangannya ketika kami duduk bersantai di rumah selepas menikmati makan tengahari atau malam. Sebaik sahaja selesai sahaja solat Isya’ pada sebelah malamnya, kami akan terus duduk bersantai dengan Pak Su sambil mendongak muka Pak Su yang tengah menyedut asap rokoknya dalam-dalam dan menghembuskannya keluar berkepul-kepul pula. Maka akan bermulalah episod penceritaannya tentang perjuangannya yang tidak pernah padam dari memori ingatannya waktu itu. Beliau membongkar semua gambar-gambar lamanya bersama rakan-rakan dan juga gambar di waktu beliau dimasukkan ke kapal untuk dibawa ke penjara di Kuching.
Pak Su ternyata tidak pernah jemu menceritakan kisah perjuangan dia dan rakan-rakan PPM dan Rukun 13. Ketika itu aku dan beberapa orang sepupu termasuk juga anak-anak Pak Su akan ternganga mendengar cerita Pak Su ku itu dan dapat kami bayangkan betapa beraninya anak-anak muda ketika itu.
“Yang menimbulkan pertanyaan ketika itu, kenapa Rosli boleh dihukum gantung sedangkan ketika melakukan perbuatan itu dia di bawah umur, dan Duncan Steward mati di Singapura seminggu selepas itu? Apakah senjata Rosli yang membunuh Duncan Steward atau peralatan atau pisau bedah yang digunakan untuk pembedahan Duncan ketika berada di hospital Singapura itu yang membunuhnya? Semua persoalan ini tidak pernah mendapat jawapan jelas dari pihak British, zalimnya kerajaan koloni British itu”, rungut Pak Su.
Menurut Pak Su, Rosli sepatutnya boleh dilepaskan dari hukuman gantung kerana dia masih juvana ketika melakukan perbuatan itu. Tapi mengapa hukuman gantung. Menurut cerita Pak Su, di samping kewujudan Rukun 13 yang dibentuk secara sulit beberapa orang anggota PPM juga menubuhkan kumpulan Gagak Hitam, sebuah pasukan yang dibentuk secara sulit bagi menyokong secara rahsia Rukun 13, namun kumpulan itu tidak dapat untuk mengambil apa-apa tindakan berikutan kekangan yang sering dihadapi dalam menentukan hala tuju perjuangan PPM ketika itu. Menurut Pak Su, pernah satu ketika sebelum berlakunya peristiwa pembunuhan Duncan Steward, Rosli Dhobby pernah bertandang ke rumah kami untuk meminjam baju dan badik.
“Kak Yusuf, pinjamkan aku baju dan badik,” kata Rosli ketika berkunjung ke rumah kami.
Rosli dan orang-orang kampung sering memanggil abang atau orang yang lebih tua sedikit sebagai kakak kerana terlalu terpengaruh dengan Indonesia yang sering memanggil abang sebagai kakak.
“Esok aku nak menebas di sekolah, rumputnya dah terlalu panjang,” tambahRosli, yang ketika itu juga mengajar di sekolah rakyat. Walaupun masih belajar di sekolah Methodis ketika itu.
Pak Su sebenarnya tahu akan perancangan Rosli dan teman-temannya, tapi dia berpura-pura tidak tahu sebab semua perancangan telah diketahui lebih awal. Sebagai salah seorang anggota Rukun 13, Pak Su masih ingat ketika bermesyuarat mereka telah menetapkan seseorang untuk mengambil tindakan terhadap Duncan Steward ketika lawatannya ke Sibu, walaupun pada dasarnya bukan Rosli. Nama Nor Tahir telah disebut berkali-kali agar melaksanakan tanggungjawab tersebut tapi tidak menjadi kenyataan. Tapi Rosli yang turut mendengar perbincangan anggota Rukun 13 ketika itu telah menawarkan dirinya yang pada awalnya tidak dipersetujui memandangkan usianya masih muda.
Ini antara senario yang sering diceritakan oleh Pak Su ketika kami sedang duduk bersantai diruang tamu rumah kami itu. Mungkin banyak yang tidak tahu akan cerita ini yang sengaja ditutupi oleh Pak Su kepada orang lain kecuali diceritakannya kepada anak-anak dan anak saudaranya yang gemar dan berminat mendengar ceritanya. Dengan kami Pak Su tidak pernah berselindung di sebalik cerita perjuangan kemerdekaan itu. Dia ceritakan segala-galanya dari mula sampai akhir. Malangnya memori ku tidak begitu kuat untuk mengingati semuanya, maklumlah dah berusia mencecah usia platinum, bukan lagi usia emas. Waktu mendengar ceritanya usia masih belasan tahun dan sehingga usia lebih 20 tahun cerita yang sama masih turut diceritakan oleh Pak Su, tiada langsung perubahan dalam babak penceritaannya, tidak pernah berbeza dari mula dia bercerita hingga kami sudah cukup dewasa. Ceritanya tidak pernah berubah.
Aku berhenti mendengar cerita Pak Su ini setelah aku dipindahkan bekerja ke Bintulu dan Miri. Setelah dewasa kami hidup berasingan membawa kehidupan sendiri, walaupun pada hakikatnya aku bukan sahaja bersepupu dengan anak-anak Pak Su dan Mak Wa, malah kami merasakan seperti adik beradik dalam rumah ini kerana sering makan bersama, kadang-kadang tidur bersama, bergurau dan bermain bersama. Kami sama-sama membesar dalam sebuah rumah sehinggalah kami berpisah kerana ada tanggungjawab masing-masing yang perlu digalas untuk membantu keluarga. Malah kami sama-sama aktif dalam sebuah pertubuhan kebudayaan yang aktif di Sibu waktu itu.
Pernah satu ketika awal tahun 1963, rumah kami didatangi sepasukan pegawai dan anggota polis dari cawangan Khas Sibu mengambil dan membawa pergi Pak Su ke balai semata-mata untuk disiasat. Dia ditahan sekitar tiga hari dua malam. Suasana di rumah ketika itu amat kelam kabut, ketiga-tiga adik beradik emak cuba menghalang Pak Su dibawa pergi oleh pegawai polis itu. Tercetus pertengkaran di antara ketiga-tiga adik beradik ini dengan para pegawai polis yang cuba membawa pergi Pak Su ku. Suara esak tangis ketiga-tiga adik beradik ini masih terngiang-ngiang di telingaku, walaupun ketika itu usiaku baharu sahaja mencecah 14 tahun, aku faham mengapa ketiga-tiga adik beradik ibuku bertindak cuba menghalang pihak polis untuk membawa Pak Su ku pergi. Aku masih teringat dan boleh membayangkan bagaimana suasana ketika itu yang membuat kami serumah dalam keadaan cemas dan tidak keruan.
Ini bukan kali pertama Pak Su dibawa pergi oleh pihak Polis. Ini merupakan kali ketiga dia disiasat untuk mempastikan dia tidak terlibat lagi dengan gerakan yang boleh menghalang kewujudan sebuah negara Malaysia. Sedangkan pada tahun 1961, Pak Su antara wakil yang dipilih untuk mewakili Sarawak dalam acara pertemuan dengan Tunku Abd. Rahman Putera, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu di Kuala Lumpur selepas kunjungan Tunku Abd. Rahman ke Sarawak sebelum itu.
Tujuan pertemuan itu ialah untuk memberi taklimat kepada para perwakilan Badan Bukan Kerajaan dari Sarawak itu akan gagasan Malaysia yang dicadangkan, walaupun pada dasarnya cadangan penubuhan Negara Malaysia telah ditentang oleh Indonesia dan Filipina. Pada waktu itulah Pak Su dan rakan-rakan yang dipilih mewakili Sarawak ketika itu telah mengemukakan memorandum menyokong gagasan Malaysia yang dicanangkan oleh Tunku. Bagi Pak Su itu satu kejayaan yang besar bagi Sarawak, bersama-sama Borneo Utara dan Singapura yang akan disatukan sebagai sebuah negara berdaulat dan merdeka, walaupun Brunei menolak gagasan tersebut. Pak Su tetap istiqomah dengan perjuangannya walaupun terpaksa hidup dalam kesukaran dari segi ekonominya. Seperti mana kami hidup serumah di bawah satu bumbung demikian juga hidup kami sekeluarga. Sekiranya ayah dan ibuku ada beroleh bahan makanan untuk dimakan maka kami berkongsi makanan untuk semua penghuni rumah itu, demikian juga dengan Pak Su ku dan keluarga Mak Wa ku yang sama-sama menghuni sebuah rumah ini. Rumah tua peninggalan nenekku kepada ibu dan saudara-saudaranya yang tinggal bersama menghuni rumah tua ini.
Aku dan adik beradikku begitu gembira di bawah pengawasan Pak Su dan isterinya, kerana kedua-dua orang tua kami sering tiada di rumah. Maka Pak Su dan Mak Su lah yang sering mendampingi kami. Aku hairan, mengapa polis selalu sahaja memberi perhatian kepada Pak Su ku dan rakan-rakannya apabila ada perkembangan tentang negeri ini. Padahal beliau dan teman-teman seperjuangannya lah yang menyokong seratus peratus gagasan Malaysia yang dibawa oleh Almarhum Tunku Abd. Rahman dengan membawa memorandum sokongan kepada Tunku sewaktu lawatan mereka ke Kuala Lumpur atas jemputan Tunku.
Rupa-rupanya dia disiasat sebagai salah satu langkah pihak polis untuk menghalang dia dan teman-temannya memberontak membantah penubuhan sebuah kerajaan baharu Malaysia. Ketika ditanya mengapa Pak Su boleh dipenjara sama. Menurutnya dia dan rakan-rakan telah membuat perancangan khusus untuk tujuan itu sebenarnya. Menurut Pak Su semua rakan-rakannya berada di tempat menunggu ketibaan Duncan Steward ketika itu, masing-masing telah bersiapsedia untuk berhadapan dengan kemungkinan berlaku tindakan daripada Rosly Dhobby, ada yang berpura-pura mengambil gambar lawatan itu, dan ada yang berpura mengambil kesempatan bersalam dengan Duncan sambil menyusun strategi yang telah diatur sebelumnya.
Cuaca panas yang sedang menyambut ketibaan Duncan Steward itu turut membantu memudahkan perancangan mereka untuk sama-sama bertindak. Pak Su sendiri berada tidak jauh dari tempat Rosli dan seorang teman lain, Namun Pak Su masih berdiri di belakang barisan orang ramai yang turut menunggu ketibaan Duncan Steward, dan bersiap sedia untuk bertindak sekiranya keadaan memerlukan dia dan teman-teman lain yang ada bersama dalam himpunan ramai itu untuk bertindak sekiranya diperlukan.
Aku bangga seolah-olah Pak Su hero bagi kami sekeluarga, walaupun tiada siapa yang tahu akan perjuangan Pak Su dan rakan-rakannya kerana tidak pernah dicatat dalam apa-apa juga bentuk rakaman dan tulisan. Kisah beliau yang turut dipenjara dua tahun setengah di penjara Kuching akibat pembabitan dalam perancangan membunuh Duncan Steward, kisah dia disiasat berkali-kali oleh pihak polis sebelum penbentukan Malaysia., Cerita perjalanannya ke Kuala Lumpur untuk bertemu Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abd. Rahman, tidak pernah dirakam sepenuhnya.
Kematian empat rakan mereka ke tali gantung, Rosli Dhobby, Awang Ramli Amit, Bujang Suntong dan Morshidi Sidek akan tetap menjadi kenangan abadi sebagai pejuang tanah air yang sukar dicari ganti. Bagi Pak Su mereka lah hero sebenar untuk tanah air tercinta ini.
“Kami hanyalah pengikut mereka, sebagai sahabat dan teman dalam perjuangan yang luhur untuk membebaskan negeri ini,” jelas Pak Su merendahkan diri, sambil saat itu kulihat tergenang air mata Pak Su di kelopak matanya mengingatkan teman-temannya yang telah pergi itu.
Tahun 2019 tahun agak kelam bagi kami sekeluarga apabila Pak Su disahkan meninggal dunia akibat sakit tua yang kemudian diikuti oleh pemergian isterinya, Mak Su ke rahmatullah setelah itu. Dengan kepergian mereka berdua kami tiada lagi orang tua di sebelah ibu semuanya sudah pergi menemui Allah azawjalla, termasuk kedua-dua ibubapa ku yang telah pergi lebih awal yang kemudian diikuti Ma Wa ku yang meninggal sakit tua di Tuaran Sabah. Yang tinggal hanyalah kami anak-anak mereka yang akan cuba meneruskan legasi perjuangan di tanah air yang merdeka ini. Aku dan semua sepupuku kini hidup berasingan dengan keluarga masing-masing untuk meneruskan kehidupan kami di bumi tercinta ini dan menjalani hidup seperti biasa walaupun kekadang timbul rasa rindu untuk bertemu semula dengan seluruh sepupuku yang kini jauh di mata, walaupun sebahagian besar dari kami tinggal setanah, di Kuala Lumpur, Sibu, Kuching, Miri dan Tuaran Sabah, termasuk juga di Australia dan London.