KUCHING: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) akan menjalankan penggantian paip kritikal serta penyelesaian terhadap isu air tidak berhasil (NRW) di Sarawak, bersama enam negeri lain.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof, menegaskan bahawa cabaran utama adalah memastikan bekalan air bersih yang berterusan dan konsisten untuk keperluan pengguna dan industri, dengan isu NRW menjadi perhatian utama.
Katanya, bagi menangani isu ini, Kerajaan Persekutuan telah memperkenalkan dua pendekatan utama.
“Pertama, menyediakan geran untuk menggantikan paip lama dan bocor di negeri-negeri dengan kadar NRW yang tinggi. Kedua, menawarkan skim geran padanan untuk membayar balik 50 peratus kos bagi negeri-negeri yang berjaya mengurangkan NRW.
“Sarawak, bersama Sabah, Kelantan, Pahang, Perlis, dan Wilayah Persekutuan Labuan, termasuk dalam kategori pertama dan akan diberikan geran untuk menggantikan paip lama yang telah digunakan lebih dari 50 tahun.
“Kehilangan air yang besar disebabkan oleh kebocoran dan sambungan haram pada paip-paip lama ini,” katanya pada majlis Malam Media Petra di sini, malam tadi.
Fadillah yang juga Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menjelaskan bahawa Kerajaan Persekutuan menyediakan pinjaman bagi melaksanakan projek rawatan kumbahan.
“Fasa ketiga projek ini akan melibatkan kawasan Kuching Utara dan Kuching Selatan, serta kawasan lain,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa negara komited untuk memajukan peralihan tenaga, khususnya dengan beralih kepada sumber tenaga bersih dan boleh diperbaharui.
“Dalam konteks ini, kita di Sarawak patut berbangga kerana negeri ini telah mencapai lebih 60 peratus penjanaan tenaga boleh diperbaharui melalui tenaga hidroelektrik.
“Di Semenanjung Malaysia, tenaga boleh diperbaharui hanya sekitar 20 peratus, dan fokus di sana lebih kepada penggunaan tenaga solar disebabkan bilangan sungai yang terhad.
“Namun, sebagai sebuah negara, komitmen bersama kita adalah untuk memastikan bahawa menjelang 2050, kita mencapai sasaran sifar karbon bersih. Itulah matlamat yang ingin kita capai,” katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal