KUCHING: Kerja-kerja baik pulih paip utama berdiameter 850 milimeter yang rosak di Jalan Tun Jugah sedang dilaksanakan dengan kerja kimpalan disasarkan siap pada 11.00 malam semalam.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kerja baik pulih itu perlu disusuli proses pembilasan (flushing) bagi membersihkan tanah dan kotoran yang memasuki sistem paip sebelum tekanan air dibina semula.
“Proses berkenaan mengambil masa dan bekalan air dijangka memerlukan tempoh dua hingga tiga hari untuk kembali stabil sepenuhnya selepas sistem dipulihkan.
“Kerja memulihkan sistem air ambil masa lama sikit, bukannya siap baiki paip, air terus dapat dipakai, tak, tak sama dengan elektrik kalau dibaiki terus dapat pakai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau kerja di lokasi pembaikan paip di Jalan Tun Jugah, semalam.
Julaihi berkata, gangguan bekalan air turut menjejaskan kawasan komersial dan perumahan di sekitar Jalan Tun Jugah sehingga ke Pending.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan Sarawak Water menyediakan lori tangki secukupnya untuk membekalkan air terawat kepada penduduk dan premis perniagaan yang terjejas.
“Sarawak Metro dan Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) turut diminta membantu mendapatkan lori tangki tambahan sekiranya diperlukan bagi memastikan keperluan bekalan air pengguna terjejas dipenuhi.
Mengenai punca kejadian, Julaihi berkata kerosakan berlaku akibat kerja cerucuk oleh kontraktor Sarawak Metro, iaitu Sri Datai JV (SJCJV), terhadap jajaran paip yang telah dipindahkan ke lokasi baharu.
Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai kesilapan manusia atau kecuaian dan berkata pihak kontraktor, perunding serta Sarawak Metro perlu meningkatkan penyeliaan di tapak pembinaan.
“Pihak prinsipal syarikat dan pengurusan projek juga perlu turun ke tapak dari semasa ke semasa dan tidak hanya menyerahkan pemantauan kepada jurutera.
“Arahan henti kerja boleh dikeluarkan sekiranya kecuaian sama terus berulang di tapak pembinaan.
“Saya minta supaya dihentikan segala kecuaian pekerja-pekerja kita di tapak, kalau tidak kita terpaksa keluarkan arahan henti kerja,” tegasnya.
Tambahnya, tindakan itu mungkin menjejaskan pelaksanaan projek KUTS, namun kepentingan pengguna perlu diberi keutamaan.
Dalam pada itu, Julaihi berkata kerajaan Sarawak sedang merancang penyediaan koridor utiliti khas bagi menempatkan paip air, kabel elektrik dan kabel telekomunikasi dalam satu jajaran yang lebih tersusun.
“Beberapa kawasan baharu sudah mula menggunakan konsep tersebut bagi memudahkan kerja penyelenggaraan serta mengurangkan risiko utiliti rosak ketika kerja pembinaan.
“Kejadian seperti ini turut menyebabkan kerugian kepada Sarawak Water dari segi kos penyelenggaraan, tenaga kerja dan pengangkutan selain kehilangan hasil melalui air tanpa hasil.
“Diminta pengguna yang masih terjejas menghubungi Sarawak Water bagi mendapatkan bantuan bekalan air sepanjang tempoh pemulihan,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah




