
KUCHING: Kerja-kerja pembinaan Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) Laluan Biru Pakej 2 dipercayai menjadi punca sebuah paip air utama berdiameter 400 milimeter pecah di Taman Stutong Indah tengah hari tadi.
Sarawak Metro Sdn Bhd dalam kenyataan memaklumkan paip jenis besi mulur ‘ductile iron’ itu rosak sekitar 12.00 tengah hari ketika kontraktor projek menjalankan kerja pembinaan di kawasan berkenaan.
Sehubungan itu, Sarawak Metro berkata pihaknya kini bekerjasama rapat dengan kontraktor Pakej 2 Laluan Biru, iaitu usahasama Perbena Emas Sdn Bhd dan CRBC (M) Holdings Sdn Bhd (PESB-CRM JV), untuk melaksanakan kerja pembaikan serta memastikan gangguan dapat diminimumkan.
Menurut kenyataan itu lagi, kerja-kerja pembaikan sedang dipantau Sarawak Water Sdn Bhd dan dijangka selesai sepenuhnya sebelum 1.00 pagi esok.
Sarawak Metro turut menzahirkan permohonan maaf kepada pengguna serta penduduk terjejas atas segala kesulitan yang timbul berikutan insiden tersebut dan memberi jaminan bahawa kerja pemulihan sedang dipercepatkan.
Sebagai latar, Sarawak Metro merupakan syarikat milik kerajaan Sarawak yang diberi tanggungjawab melaksanakan, mengendalikan dan menyelenggara Projek KUTS.
Fasa pertama projek ini merangkumi tiga laluan utama iaitu Laluan Biru dari Rembus ke Hikmah Exchange, Laluan Merah dari Kuching Sentral ke Pending, serta Laluan Hijau dari Pending ke Damai.
Projek KUTS menampilkan teknologi kenderaan Transit Aliran Autonomi (ART) berkuasa hidrogen yang beroperasi di lorong khas tanpa berkongsi laluan dengan kenderaan lain, selaras usaha kerajaan memacu ekonomi hidrogen dan mengurangkan pelepasan karbon dalam pengangkutan awam.