
BINTULU: Projek pembinaan pagar di sekeliling padang serba guna Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Bintulu yang kini siap sepenuhnya meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pelajar ketika menjalani aktiviti luar bilik darjah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, pemasangan pagar tersebut membantu mengelakkan insiden bola tercampak keluar dari kawasan padang sekali gus membolehkan pelajar menikmati aktiviti mereka dengan lebih selamat.
“Projek ini dilaksanakan sebagai salah satu usaha menaik taraf kemudahan sekolah sedia ada demi kebajikan pelajar dan warga sekolah secara keseluruhan,” katanya semasa turun padang bersama pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi meninjau hasil kerja siap selain mendengar keperluan tambahan daripada pihak sekolah.
Menurut beliau, antara projek seterusnya yang akan dilaksanakan adalah kerja penurapan simen di kawasan tengah sekolah bagi mewujudkan ruang yang lebih luas dan selesa untuk kegunaan pelajar.
“Sekolah ini telah beroperasi hampir 30 tahun di tapak sedia ada dan banyak kemudahannya telah usang.
“Saya akan terus menyokong penambahbaikan infrastruktur melalui peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).
“Antara perancangan akan datang termasuk pemasangan jubin anti-gelincir serta pembinaan laluan berbumbung bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pelajar dalam jangka masa panjang,” ujar Johnny Pang.
Oleh Carolyne Utih