Pagar baharu Tabika Perpaduan Kampung Luak tingkatkan keselamatan murid

Facebook
WhatsApp
SIAP...Penyerahan tapak projek siap naik taraf pagar Tabika Perpaduan Kampung Luak yang telah berjaya disiapkan mengikut tempoh ditetapkan. Projek ini meningkatkan aspek keselamatan serta mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat dan kondusif untuk murid serta tenaga pengajar.

MIRI: Usaha meningkatkan aspek keselamatan kanak-kanak prasekolah diteruskan apabila projek menaik taraf pagar di Tabika Perpaduan Kampung Luak di sini berjaya disiapkan dan diserahkan pada 24 Julai lalu.

Projek yang mengambil masa kira-kira sebulan itu melibatkan pembinaan pagar baharu bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat dan kondusif kepada murid serta tenaga pengajar.

Majlis penyerahan projek itu disaksikan oleh wakil Pasukan Pusat Khidmat Parlimen P.219 Miri yang mewakili Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man, bersama pegawai daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Bahagian Miri.

Menurut Chiew, penyediaan kemudahan yang selamat dan berkualiti di institusi pendidikan awal kanak-kanak sentiasa menjadi keutamaan bagi memastikan kebajikan serta keselamatan murid terus terpelihara.

“Walaupun projek ini melibatkan skop yang kecil, ia memberi manfaat yang besar kepada kanak-kanak, guru-guru dan ibu bapa.

“Persekitaran yang lebih selamat akan membantu mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Chiew turut merakamkan penghargaan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), agensi berkaitan serta pihak kontraktor yang berjaya menyiapkan projek tersebut mengikut tempoh yang ditetapkan.

Beliau berkata, penyediaan dan penambahbaikan kemudahan awam seperti ini akan terus diberi perhatian bagi memastikan komuniti setempat menikmati kemudahan yang lebih selesa, selamat dan berkualiti.

Oleh Liong Chai Ling