Padini umum SPRM batalkan perintah beku akaun bank

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

GAMBAR hiasan.

KUALA LUMPUR: Padini Holdings Bhd (Padini) hari ini memaklumkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membatalkan perintah pembekuan semua akaun bank syarikat itu serta anak syarikat dilaksanakan sebelum ini yang menjadi sebahagian daripada prosedur siasatan.

Dalam satu kenyataan, Padini menyatakan tiada pengarah, pegawai, pekerja atu wakil kumpulan berkenaan yang telah ditahan atau didakwa bagi perkara terbabit.

Pada masa sama, peruncit pakaian itu juga mengesahkan tiada kakitangannya yang menjadi subjek bagi sebarang prosiding pelucuthakan berkaitan siasatan berkenaan.

Padini juga memaklumkan pihaknya sejak awal dan secara konsisten menegaskan syarikat dan semua entiti kumpulan itu tidak terlibat dalam sebarang salah laku atau tindakan tidak wajar.

“Kumpulan ini kekal komited terhadap tahap tertinggi integriti, ketelusan dan tadbir urus korporat selain mengamalkan dasar toleransi sifar terhadap rasuah, sogokan dan segala bentuk perlakuan yang menyalahi undang-undang atau tidak beretika,” menurutnya.

Selain itu, Padini turut menyatakan penghargaan terhadap pemegang saham, pelanggan, rakan perniagaan, pekerja serta pihak berkepentingannya di atas kepercayaan, kesabaran serta sokongan berterusan sepanjang tempoh terbabit.

Pada April lepas, SPRM telah bertindak membekukan beberapa akaun Padini dan anak syarikat yang menjadi sebahagian daripada siasatan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Akta Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Susulan itu, Padini memaklumkan telah memulakan satu siasatan dalaman dan menambah bahawa siasatan SPRM itu melibatkan pihak luar tertentu berkaitan kumpulan itu dan bukannya kakitangan, pegawai mahu pun pengurusan kumpulan. – Bernama