LIMBANG: Sarawak mensasarkan untuk membangunkan kira-kira 14,000 hektar kawasan bagi penanaman padi di wilayah ini melalui peruntukan RM1 bilion sekali gus menjadikan Sarawak sebagai Jelapang Padi.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi, dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, bagi Daerah Limbang, kementeriannya telah mengenal pasti 400 hektar kawasan penanaman padi melibatkan Kampung Pendam di daerah itu.
Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota menjelaskan bagi Daerah Lawas pula sebanyak 100 hektar kawasan akan dibangunkan untuk penanaman padi melibatkan daerah kecil Sundar kerana kawasannya yang strategik bagi tanaman itu.
“Sasaran keseluruhan tanaman baru padi adalah membabitkan 14,000 hektar di seluruh Sarawak. Ini termasuk untuk kawasan di Limbang dan Lawas dan bagi daerah Limbang, 400 hektar kawasan penanaman padi dibangunkan diĀ Kampung Pandam.
“Di Lawas kita mengenal pasti 100 hektar di kawasan Sundar, projek ini melibatkan peruntukan RM1 bilion,” katanya kepada media ketika ditemui pada majlis Penangguhan dan Penyampaian Hadiah Festival Kesenian Islam Daerah Limbang di Dewan Suarah Limbang, semalam.
Turut sama ialah Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal, Wali Kota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat dan Pegawai Agama Islam Bahagian Limbang Ustaz Awang Abdul Rahim Awang Rosely.
Kata Dr Abdul Rahman lagi sejajar hasrat itu Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan merombak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak kepada dua unit untuk menyelenggara dan membangunkan parit dan tali air di kawasan bandar dan kawasan pertanian.
Jelasnya, satu unit JPS itu nanti adalah di bawah Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD), khas untuk menyelenggara dan membangunkan parit dan tali air di kawasan pertanian.
Satu lagi unit di bawah Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, ujarnya lagi, untuk menyelenggara dan membangunkan parit dan tali air di kawasan bandar.
Langkah itu, katanya, adalah bagi menampung keperluan beras domestik, selain bagi tujuan eksport serta mengurangkan kebergantungan kepada beras import.
Oleh Adeng Edrus