
PADAWAN: Industri pelancongan kini menyaksikan lembaran baharu apabila Persatuan Pengusaha Inap Desa dan Eko Pelancongan Padawan mengambil langkah proaktif memperkasakan penglibatan komuniti tempatan sebagai pemacu utama kepada pembangunan sosioekonomi yang menyeluruh.
Penubuhan persatuan ini bukan sahaja menyatukan para penggiat pelancongan di bawah satu platform berstruktur, malah ia menjadi wahana penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara komuniti, agensi kerajaan dan sektor swasta.
Pada Mesyuarat Agung Tahunan Bil. 1/2025 yang diadakan di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Kecil Padawan semalam, ahli-ahli persatuan telah sebulat suara melantik pemilik De Remin Sapit Cuisine and Staycation di Kampung Biya Sapit, Mohd Amirudin Abdullah sebagai pengerusi persatuan bagi penggal 2025 hingga 2027.
“Pendekatan persatuan adalah menyeluruh dan inklusif, melibatkan latihan, seminar serta pendedahan untuk meningkatkan kapasiti ahli dalam bidang pelancongan.
“Pembangunan pangkalan data pelancongan yang komprehensif adalah penting sebagai asas kepada strategi promosi yang lebih berkesan,” kata Amirudin semalam.
Dalam mesyuarat yang sama, pelantikan Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Padawan, Julius Scott Sapong sebagai penasihat persatuan turut dipersetujui, sekali gus mengukuhkan sinergi antara dasar kerajaan dan inisiatif akar umbi.
Sejak ditubuhkan pada tahun 2024, persatuan ini membawa visi menjadikan industri pelancongan sebagai pemangkin utama pembangunan ekonomi setempat dengan misi mempromosikan Padawan sebagai destinasi pilihan berteraskan budaya, warisan dan alam semula jadi.
Antara fokus utama termasuk pendaftaran pengusaha pelancongan, kesedaran perlesenan dan dokumentasi, penyebaran maklumat berkaitan bantuan, penyelarasan promosi serta pengemukaan cadangan pembangunan kepada pihak berkuasa.
Usaha ini sejajar dengan penekanan berterusan Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara dan Jalan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil, yang melihat pelancongan sebagai enjin pertumbuhan baharu bagi luar bandar.
–UKAS