
LIMBANG: Padang Majlis Daerah Limbang (MDL) yang kini dalam keadaan daif dan berdepan masalah saliran akan dinaik taraf secara berperingkat, termasuk cadangan penukaran kepada padang rumput tiruan pada masa akan datang.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, berkata peruntukan sebanyak RM150,000 telah disalurkan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) sebagai penyelesaian jangka pendek.
“Padang MDL ketika ini mengalami masalah saliran yang teruk. Melalui peruntukan RTP, sejumlah RM150,000 telah disalurkan untuk kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan sebagai langkah awal mengatasi masalah ini,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Tapak Dataran Bandar Limbang dan Padang MDL, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota berkata, bagi jangka panjang, cadangan menaik taraf padang kepada rumput tiruan telah dikemukakan bagi menyediakan kemudahan sukan yang lebih baik.
“Apabila dinaik taraf kelak, padang ini akan memberi peluang kepada pemain bola sepak tempatan untuk berlatih dan beraksi dengan lebih selesa dan profesional,” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri komited dalam pembangunan sukan dengan menyediakan lebih banyak kemudahan prasarana termasuk padang bola sepak, terutamanya di kawasan luar bandar.
“Melalui kemudahan ini, kita berharap dapat melahirkan lebih ramai pemain berbakat dan ikon sukan dari utara Sarawak, memandangkan Limbang pernah dikenali sebagai ‘Singa Utara’ kerana pencapaian cemerlang dalam sukan suatu ketika dahulu,” katanya.
Oleh Adeng Edrus