
MOHAMAD Duri dan Friday Belik menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua Liga Betong 2026 antara Hermanos FC dan Crossover FC di Padang Majlis Daerah Saratok semalam.
SARATOK: Padang Majlis Daerah Saratok bakal dinaik taraf menerusi peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi menyediakan kemudahan sukan yang lebih selesa dan berkualiti kepada penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata usaha menaik taraf padang berkenaan memperlihatkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh pembangunan infrastruktur sukan di kawasan luar bandar.
Menurut beliau, padang yang lebih berkualiti bukan sahaja mampu menjadi gelanggang pertandingan yang lebih baik, malah menggalakkan lebih ramai belia dan masyarakat setempat menyertai aktiviti sukan secara aktif.
Beliau berkata demikian ketika menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua Liga Betong 2026 antara Hermanos FC dan Crossover FC di Padang Padang Majlis Daerah Saratok di sini, semalam. Hadir sama ialah ADUN Krian, Friday Belik.
Dalam perlawanan yang berlangsung penuh aksi itu, Hermanos FC mempamerkan prestasi cemerlang apabila membelasah Crossover FC 6-1 sekali gus mengesahkan slot ke pentas akhir Liga Betong 2026.

PERLAWANAN separuh akhir kedua Liga Betong 2026 di antara Hermanos FC menentang Crossover FC di Padang Majlis Daerah Saratok semalam.
Mohamad Duri berkata pemilihan Padang Padang Majlis Daerah Saratok sebagai venue pilihan memberi peluang kepada peminat bola sepak di Daerah Saratok menyaksikan sendiri aksi kompetitif Liga Betong tahun ini tanpa perlu keluar ke daerah lain.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur kerana memilih Saratok sebagai lokasi perlawanan separuh akhir, sekali gus membantu mempromosikan daerah itu sebagai destinasi penganjuran acara sukan.
“Tahniah dan syabas kepada pihak penganjur atas kejayaan menganjurkan pertandingan ini. Terima kasih juga kerana memilih Padang Majlis Daerah Saratok sebagai tempat perlawanan separuh akhir kedua Liga Betong 2026,” katanya.
Beliau berharap projek menaik taraf Padang Padang Majlis Daerah Saratok dapat direalisasikan dalam masa terdekat agar kemudahan itu mampu menjadi gelanggang sukan yang lebih moden, selamat dan kondusif, sekali gus menyokong pembangunan bakat bola sepak serta penganjuran pelbagai kejohanan pada masa hadapan.
Oleh Adi Safarman




